ANALISIS

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengambil alih jawatan Presiden UMNO daripada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2018 bukanlah dalam keadaan parti itu berada di tampuk kekuasaan.

Sebaliknya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu terpaksa mengemudi UMNO ketika parti sudah kehilangan tampuk kekuasaan yang dikuasai sejak 51 tahun lalu.

Keadaan itu sudah tentulah satu cabaran yang cukup hebat kepada beliau, apatah lagi pada masa sama satu demi satu parti komponen meninggalkan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun sejak megambi alih kepemimpinan UMNO, Ahmad Zahid yang turut berhadapan dengan pertuduhan pecah amanah di mahkamah, dianggap tidak memiliki karisma dan ketokohan untuk memimpin parti berkenaan. Beliau juga dikatakan tidak tegas dan tidak berani membuat sesuatu keputusan mahupun tindakan.

Malah Ahmad Zahid juga dilihat ‘tenggelam’ berikutan populariti Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu aktif membangkitkan pelbagai isu berkaitan rakyat dan negara sehinggakan parti-parti pembangkang lebih banyak memberi tumpuan kepada bekas Perdana Menteri itu berbanding Ahmad Zahid.

Namun kemelut politik melibatkan UMNO dan Bersatu sejak September lalu menunjukkan ‘keberanian dan ketegasan’ bekas Timbalan Presiden itu.

Terbaru Ahmad Zahid sanggup memecat Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) biarpun Ahli Parlimen Ketereh itu adalah kawan beliau.

Ahmad Zahid bertindak demikian kerana mahu memastikan keharmonian dalam UMNO biarpun sehingga ke hari ini Presiden UMNO itu tidak menafikan dakwaan Annuar bahawa Ahmad Zahid mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Surat sokongan itu pada September lalu menjadi isu apabila Anwar mendakwa mempunyai cukup majoriti sokongan ahli Parlimen untuk menduduki jawatan berkenaan.

Ketika itu Ahmad Zahid menunjukkan ‘keberanian’ beliau apabila menyatakan UMNO tidak boleh menghalang jika ahli Parlimen UMNO mahu menyokong Presiden PKR tersebut.

Walaupun kenyataan itu menunjukkan Ahmad Zahid tidak mempunyai kekuatan sebagai Presiden yang berupaya mengawal ahli Parlimen parti tersebut, namun beliau ‘dengan tenang’ memberitahu dimaklumkan ramai ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN telah menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sebelum semua itu berlaku, Ahmad Zahid sebagai Presiden parti bersetuju untuk membawa UMNO menyertai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan bergabung bersama Bersatu – parti serpihan UMNO.

Walaupun Ahmad Zahid tidak diberikan sebarang jawatan dalam Kabinet memandangkan beliau mempunyai kes mahkamah namun beliau mempertahankan kerjasama tersebut sehingga tercetus perbalahan berikutan Bersatu didakwa ‘membuli’ UMNO.

Selain itu, Ahmad Zahid juga tegas dan berani apabila menyatakan akan membersihkan namanya di mahkamah biarpun UMNO kini sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Ahmad Zahid tidak menggunakan kedudukan atau kekuatan UMNO dalam Kerajaan PN untuk membawa berkotak-kotak dokumen kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meminta kes beliau digugugurkan.

Ahmad Zahid juga dilihat cukup berani berhadapan dengan perbezaan pendapat dalam UMNO yang ketika ini sehingga dalaman parti itu nampak tidak sehaluan antara pemimpin-pemimpinnya. Walaupun sikap itu dianggap menunjukkan kelemahan kepemimpinannya namun Ahmad Zahid ‘tenang-tenang’ sahaja.

Kesimpulannya, tidak wajar kalau sesiapa anggap Ahmad Zahid tidak berani atau tidak tegas, cumanya UMNO pada era sekarang memerlukan kepemimpinan yang mampu bertindak lebih strategik menghadapi kepelbagaian kehendak dan keperluan.