Kuala Lumpur – Sepasang kekasih yang menggunakan kad pengenalan atau Kartu Tetap Penduduk (KTP) milik orang lain merupakan antara penumpang pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di Kepulauan Seribu, Jakarta kelmarin.

Teofilus Lau Ura dan Shelfi yang berasal dari daerah Ende, Nusa Tenggara Timur (NTT) melangkah masuk ke dalam pesawat yang menuju ke Pontianak itu dengan menggunakan Feliks Wenggo dan Sarah Beatrice Alomau.

‘Rahsia’ pasangan kekasih tersebut yang merancang berkahwin dalam waktu terdekat didedahkan oleh wakil keluarga kepada kedua-dua mangsa, Benediktus Beke kepada media.
Memetik portal berita Kumparan, Benediktus berkata, Teofilus dan Shelfi mahu ke Pontianak untuk mencari kerja selepas Teofilus dihentikan.

‘’Mereka mahu menikah tidak lama lagi tetapi tidak mempunyai wang, oleh itu mereka nekad ke Pontianak untuk mencari kerja di sana,’’ katanya.

Benediktus berkata, Teofilus menjadi harapan untuk menyara keluarga yang terdiri daripada ibu dan adiknya.

‘’Bapanya sudah lama pergi ke Malaysia dan sampai sekarang belum pulang,” kata Benediktus.

Dia berharap, walaupun Teofilus dan Shelfi menggunakan identiti orang lain, ia tidak akan menghilangkan hak-hak mereka sebagai penumpang pesawat malang itu.

‘’Perbezaan KTP dan identiti itu hanya soal pentadbiran tetapi jasad itu adalah ahli keluarga kami,’’ katanya.