KUALA LUMPUR – Bukan pukul 2 petang mahu pun 8 malam.
Sebaliknya tepat jam 6 petang ini, Tan Sri Muhyiddin Yasin akan menyampaikan perutusan khasnya yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia.
Perutusan Khas Perdana Menteri Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan itu akan disiarkan secara langsung di stesen televisyen utama negara dan saluran media sosial Muhyiddin.
Perutusan tersebut dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia berhubung strategi terbaru kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19.
Ini seperti dimaklumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lalu.
Kes COVID-19 kembali menimbulkan keresahan ramai apabila secara purata kes baharu mencecah lebih 2,000 angka pada tahun ini.

Malah ia pernah mencecah lebih 3,000 kes baharu – angka tertinggi sejak virus itu dilaporkan di Malaysia awal tahun lalu.
Banyak pihak khususnya pakar kesihatan awam melihat PKP adalah satu keperluan ketika ini.
Namun demikian, terdapat kebimbangan PKP untuk kali kedua merupakan satu tamparan kepada sektor ekonomi yang masih terkesan dengan pandemik berkenaan.

