ANALISIS

Kasihan pula tengok reaksi sesetengah ahli politik dan penyokong mereka yang ‘belum hilang kebah terkejut’ apabila pengisytiharan darurat dilaksanakan.

Membaca komen-komen mereka, kita boleh senyum sendirian. Nampak sangat mereka marah dengan pengisyiharan itu, sampaikan ada seorang bekas YB berhujah timbul isu perundangan adakah Muhyiddin memberi nasihat yang jujur kepada Yang di-Pertuan Agong?

Seorang pemimpin kanan pembangkang pula minta Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong kerana mendakwa Presiden PKR itu sudah cukup majoriti sokongan ahli Parlimen. Pada masa sama seorang lagi pemimpin kanan mempersoalkan kenapa Parlimen digantung.

‘Rasa pilu’ tengok gelagat macam ni. Harimaupun ‘menangis tengok’ gelagat ahli politik kita, sebab ada ‘tenaga luar biasa’. Dengan kes baru Covid-19 semakin bertambah, mereka masih lagi dok pusing ‘roundabout’ nak rebut kuasa, nak jatuhkan kerajaan, nak tengok Muhyiddin jatuh, nak pilihan raya. Dalam kepala mereka tiada lain. ‘Pi mai, pi mai tang tu juga!

Mereka makin ‘panas’ bila rakyat pun relaks saja terima darurat dan PKP. Satu sumber bagi tahu penulis, dalam satu kaji selidik oleh sebuah agensi mendapati 80 peratus rakyat menyokong darurat. Kenapa mereka sokong? Sebabnya mereka dah muak dengan mainan politik yang tak sudah-sudah.

Dulu masa sidang Parlimen bukan nak fokus untuk perjuangkan isu-isu rakyat, belanjawan pun mereka nak tolak dengan pelbagai alasan. Tetapi sekarang bila Parlimen ‘digantung’ mereka persoalkan pula. Kata mereka, kalau mahkamah boleh berfungsi, kenapa Parlimen tak boleh?

Mereka tuduh Perdana Menteri takut. Kerana kata puak-puak itu, jika Parlimen dibenarkan bersidang, ia akan mendedahkan Muhyiddin tidak ada sokongan majoriti. Bayangkan kalau Parlimen tak gantung, ‘huru-hara’ lagi la politik negara. Sebab niat mereka bukannya soal nak semak dan imbang tetapi nak ‘desak dan tumbang’.

Begitu juga Jawatankuasa Bebas yang diperkenankan penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong. Seorang pemimpin pembangkang, minta mereka boikot daripada menjadi anggota jawatankuasa itu.

Kata pemimpin tersebut, ia penting untuk hantar mesej bahawa darurat tidak perlu dilaksanakan. Inilah masalah pembangkang, kalau tak jemput, mereka marah, bila dijemput nak boikot pula. Mudah cakap kerajaan buatlah apapun semuanya tak betul.

Jadi biarlah mereka nak ‘serang’ macam manapun bab darurat ni, yang penting kerajaan tumpu perhatian perangi Covid-19, pada masa sama perlu mengatur strategi melaksanakan program atau pakej ekonomi bagi mengurangkan beban rakyat.

Carilah jalan untuk bantu rakyat. Lagipun dalam kaji selidik yang dibuat oleh agensi tersebut, walaupun majoriti rakyat sokong darurat dan PKP, mereka juga berharap kerajaan bantu mereka.

Contohnya benarkan pengeluaran caruman KWSP secara ‘one off ‘ tanpa syarat, laksanakan semula moratorium secara automatik seperti PKP 1.0, beri bantuan kepada peniaga-peniaga kecil dan lain-lain lagi yang boleh mengurangkan beban rakyat.

Percayalah, pembangkang tidak akan duduk diam, mereka akan cari apa juga jalan untuk memburuk-burukkan kerajaan. Isu berkaitan kesusahan rakyat boleh jadi modal besar, jangan buka ruang kepada kelompok yang tak tahu nak berehat daripada berebut kuasa ini.

Kesimpulannya, tugas kerajaan sekarang ialah fokus hapuskan Covid-19, kurangkan beban rakyat disebabkan PKP dan bila dah selesai Covid-19, bubar Parlimen.

Biarlah mereka yang mahu berpolitik ini terus berpolitik, nak buat macam itu saja yang mereka tau. Dulu masa jadi kerajaan tak sehebat mana malah ada yang dok ‘bantai’ kerajaan tu, pilihan raya pun tak bertanding, yang bertanding kalah pulak, tapi bila bercakap ‘kambingpun boleh tersenyum’ – Hebat ahli politik Malaysia ni.