KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuatkuasakan di seluruh negeri Kelantan bermula tengah malam ini.
Perakara itu diputuskan pada sidang khas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara hari ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perintah itu berkuat kuasa sehingga 26 Januari ini dengan prosedur operasi standard (SOP) sama seperti mana enam negeri lain yang sudah dikuatkuasakan PKP.
Pelaksanaan itu susulan peningkatan kes baru COVID-19 di hampir seluruh daerah yang menyaksikan banyak kawasan telah bertukar zon merah.
“Sehingga semalam, secara kumulatif sebanyak 1,649 kes positif COVID-19 direkodkan di Kelantan. Purata kes harian meningkat antara 80 hingga 100 kes sehari. Kes aktif di Kelantan juga kini mencecah 891 kes.
“KKM turut mengesahkan 90 peratus daerah di Kelantan kini dalam zon merah dan jingga. Tujuh daerah zon merah antaranya Kota Bharu, Tumpat, Kuala Krai dan Tanah Merah.
“Oleh itu, atas penilaian risiko KKM, PKP dilaksana di seluruh negeri Kelantan sehingga 26 Januari. SOP nya sama macam di enam negeri lain,” tegasnya.

Turut dikuatkuasakan PKP ialah Bahagian Sibu di Sarawak yang melibatkan tiga daerah seperti mana dipersetujui MKN hari ini.
Daerah tersebut ialah Sibu, Selangau dan Kanowit dengan pelaksanaannya bermula 16 Januari hingga 29 Januari ini.
Peningkatan kes baru COVID-19 di Kelantan sebahagiannya berpunca daripada aktiviti rentas negeri dengan tujuh kluster berkaitan dilaporkan di negeri berkenaan.