“Saya ingin mengingatkan diri saya dan rakyat Malaysia tidak kira pangkat, bangsa dan sebagainya untuk patuh kepada SOP.”

Kata-kata akhir Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbarnya semalam memang lain macam.

Sepanjang mengikuti sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan itu sejak Mac lalu, rasanya ini kali pertama keluar dari mulut beliau ‘patuh SOP tanpa kira pangkat’.

Ya, sebagai ketua penjawat awam dalam perkhidmatan kesihatan, beliau berhak dan sepatutnya pun.

Apatah lagi banyak pula kebelakangan ini kes positif melibatkan golongan orang berpangkat.

Masalah COVID-19 sudah cukup besar, beban ditanggung petugas kesihatan sudah terlalu berat.

Statistik harian COVID-19 19 Januari 2021./ Sumber KKM

Tak perlu nak menambahnya. Sama ada kenamaan atau rakyat biasa, COVID-19 tidak memilih.

Positif sahaja, petugas kesihatan juga menanggung tanggungjawab hendak rawat. Keluh-kesah mereka sudah banyak diluahkan.

Ketika ini 40,000 pesakit COVID-19 sedang dirawat di fasiliti awam. Angka ini jangan ditambah lagi kerana faktor seperti kealpaan pada SOP.

Maka, kenamaan hentikanlah buat perkara yang mengundang persoalan rakyat tentang kepautuhan SOP. Apa-apa acara simpan dulu termasuk acara makan dan sebagainya.

Apatah lagi rakyat nak makan di kedai dua semeja pun tak boleh, tapi kenamaan ada pula gambar yang boleh berjemaah.

Facebook Dr Noor Hisham Abdullah

Ingatlah, pangkat anda tak terjejas pun jika tidak buat majlis, bahkan dihargai petugas kesihatan kerana membantu mengurangkan risiko penularan apabila semua lebih banyak duduk di rumah.

Apa sahaja biarlah secara norma baharu. SOP pun sudah jelas. Tinggal lagi nak patuh sahaja, bukan hanya rakyat tapi juga semua tanpa kira pangkat bak kata Noor Hisham.

Hari ini dalam satu hantaran di Facebook beliau pagi ini, sekali lagi Noor Hisham memberi kata-kata semangat kepada anak buahnya yang berdepan tugas yang sangat besar.

Baca: Kongsi ayat al-Quran, seru petugas niat berkhidmat kerana Allah

Dalam bahasa Inggeris, Noor Hisham terus menyeru petugas kesihatan memberi khidmat terbaik di sebalik pelbagai cabaran melanda.

Kalau ada lagi rakyat Malaysia yang nak pakai pelitup muka di dagu, entahlah. Fikir susah payah, pengorbanan orang lain sama.

Mencegah daripada penyakit itu tuntutan agama.