SULTAN Selangor dan Permaisuri Selangor begitu rapat dengan kucing-kucing liar yang dipelihara sehingga ada yang bebas keluar masuk istana, termasuk menjadi peneman setia baginda berdua. - GAMBAR Facebook Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menitahkan agar rakyat khususnya di negeri ini agar tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan-haiwan terbiar, khususnya kucing dan anjing.

Baginda berdua terkilan dan dukacita kerana masih ada individu dan pihak-pihak tertentu yang sengaja berlaku kejam terhadap haiwan-haiwan itu dan masih tidak tahu kaedah terbaik untuk melindungi mereka, khususnya ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Titah Baginda, adalah sangat penting untuk kita semua memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan tersebut dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi mereka makan dan perlindungan, sama ada ketika dalam peliharaan atau pun apabila mereka berada di dalam habitat sendiri.

Menurut hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, baginda berdua sendiri kini memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah dikasi (neuter) dan diberi perlindungan secukupnya.

Ini termasuk Snowy, seekor kucing terbiar yang pada mulanya datang ke kediaman Tuanku Sultan empat tahun lalu untuk mencari makanan, namun diambil sebagai haiwan angkat di atas inisiatif baginda sendiri dan kini menjadi kucing peliharaan kesayangan dan peneman setia baginda.

“Seperti kucing terbiar lain yang diambil untuk dipelihara, Snowy telah dihantar ke doktor veterinar untuk dikasi dan dibersihkan,” kata hantaran tersebut.

Selain Snowy, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja kepada program Stray Free Selangor (SFS) kendalian Society For The Prevention of Cruelty Animals (SPCA Selangor) telah menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar di mana kira-kira 30 ekor daripadanya dipelihara oleh baginda sendiri, manakala selebihnya diberi sebagai haiwan angkat.

Menurut baginda, dengan kaedah mengambil sebagai haiwan angkat, haiwan terbiar itu boleh menjadi haiwan peliharaan yang bersih dan menyenangkan jika kita memberi rawatan dan penjagaan yang rapi.

Untuk rekod, sejak Mac 2017 sehingga Disember 2020, sejumlah 7,117 ekor kucing dan anjing terbiar telah dikasi di bawah program SFS yang diselia oleh SPCA Selangor.

Dalam pada itu, Sultan juga menitahkan agar pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih proaktif dan bijak menangani isu haiwan terbiar ini secara holistik, dan bukan memberi gambaran buruk yang akhirnya akan menyebabkan haiwan-haiwan ini dikurung atau dibunuh.

Baginda mahu PBT menjadikan negara Turki sebagai model, bagaimana pihak berkuasa negara itu mengendalikan haiwan-haiwan terbiar yang tidak berdosa ini daripada dizalimi.

Baginda berdua amat berharap agar rakyat dan seluruh komuniti terus menyemai sifat belas kasihan dan sayangkan haiwan-haiwan terbiar ini serta mengambil berat tentang hak dan kebajikan haiwan seumpamanya.

Di kesempatan ini, Baginda berdua turut berkenan mengingatkan rakyat jelata agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan di bawah PKP, termasuk memakai pelitup muka dan hanya keluar dari rumah bila perlu bagi membendung wabak berbahaya COVID-19 daripada terus menular. – UTUSANTV