KUALA LUMPUR – Walaupun kelihatan seperti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dengan memakai pelitup muka tetapi didapati masih ramai penduduk negara ini memakainya sambil lewa dipercayai kerana takut dikenakan saman oleh pihak berkuasa sahaja.
Walaupun sering diingatkan tetapi perbuatan memakai pelitup muka di dagu dilihat seakan menjadi perkara lumrah dilakukan oleh sesiapa sahaja, mungkin kerana tidak selesa atau sukar bernafas bagi yang mempunyai masalah pernafasan atau hidung tersumbat.
Bagaimanapun, ia tidak seharusnya dijadikan alasan kerana bagi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah orang ramai seharusnya memakai pelitup muka dengan cara yang betul kerana jika tidak, ia akan memberi kesan tidak baik kepada kesihatan mereka.
Menerusi laman Facebook dan Twitter miliknya, Dr Noor Hisham berkata, orang ramai harus memakai pelitup muka dengan cara yang betul atau pun mereka harus menanggalkan ia sepenuhnya.
“Peringatan kepada semua kalau nak pakai pelitup muka, sila pakai dengan cara yang betul atau tidak pakai langsung.
“Janganlah tarik turun pelitup muka sampai ke dagu. Ini pelitup muka bukan pelitup dagu,” katanya.
Menurutnya, pemakaian pelitup muka di dagu akan menyebabkan mulut dan hidung akan mudah dijangkiti virus atau kuman daripada kawasan dagu yang terdedah.
Apabila berhasrat untuk melakukan aktiviti senaman dan juga makan serta minum, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak memakai pelitup muka. – UTUSANTV

