Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjawat jawatan Menteri Kanan Pertahanan dalam kerajaan sebelum ini perlu memberi penerangan kepada rakyat setiap hari, / Gambar media sosial

KUALA LUMPUR – Mana ada parti politik tak ada masalah tetapi biarlah ia diselesaikan secara UMNO.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seperti mana diamalkan sebelum ini, isu dalaman yang terbaru juga perlu diselesaikan secara dalaman dan kekeluargaan parti.

Bercakap kepada Harian Metro Online, beliau berkata, tumpuan ketika ini sepatutnya terarah kepada perpaduan dan gerak kerja untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan bukannya berbalah secara terbuka.

Katanya, sejak dulu, menjadi tradisi parti untuk bebas bersuara kerana ia adalah amalan demokrasi, namun perlu dilakukan mengikut ruang lingkup parti dan ahli sahaja.

“Masalah semua ada, DAP ada masalah dalaman, PKR ada masalah dalaman… tapi jangan kita tonjolkan sampai orang luar tengok kekurangan kita.

“Kalau kita nak bergaduh, bergaduh di dalam. Kita semua sedia maklum bahawa setiap individu itu tidak sempurna dan ada kekurangan malah tidak akan lari dari membuat silap.

“Begitu juga pemimpin UMNO. Jadi, kalau kita mula menyerang sesama kita di luar, bukan saja pecah itu semakin besar tetapi orang akan nampak yang kita lemah,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin pelbagai peringkat parti itu yang membuat kenyataan terbuka meminta Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan kerana hilang keyakinan.

Terbaru hari ini, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman menggesa Ahmad Zahid berundur secara terbuka demi bangsa Melayu, UMNO, kesetiaan dan kegigihan 3.6 juta ahli parti.

Beliau dipetik berkata, pengunduran itu perlu memandangkan kemelut pimpinan tertinggi Umno khususnya ahli Majlis Tertinggi (MT) serta ahli parlimen berlarutan tanpa sebarang penyelesaian.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, masalah dalaman berlaku kepada semua parti, namun ia perlu diselesaikan secara dalaman demi kebaikan bersama.

“Apapun masalah kita selesaikan secara kekeluargaan, secara muafakat. Walaupun UMNO mengamalkan demokrasi iaitu setiap orang berhak untuk bersuara, saya lebih suka kalau kita bersuara sesama kita di dalam. Itu lebih baik,” katanya.