KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Eropah-Malaysia (EuroCham Malaysia) membayangkan kerajaan berhasrat mengumumkan penutupan ekonomi secara menyeluruh selepas 4 Februari jika bilangan kes Covid-19 terus meningkat.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Eurocham Malaysia, Sven Schneider kepada anggotanya seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.
Sumber Eurocham mengesahkan ketulenan surat itu tetapi berkata,ia ditujukan untuk edaran dalam kalangan anggotanya sahaja.
Surat itu mengandungi rumusan mesyuarat “mustahak dan segera” antara Schneider dengan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Lokman Hakim Ali dan para pegawai lain pada 22 Januari lalu, yang antara lain menyebut bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) “menyatakan pendirian jelas berhubung penutupan menyeluruh ekonomi”.
“Jika kadar jangkitan tidak berkurang, kerajaan akan mengumumkan penutupan/sekatan pergerakan ketat serta-merta selepas 4 Februari. Inilah situasi semasa yang sedang kita hadapi dan MITI meminta semua syarikat, sama ada tempatan atau dari luar, untuk menyertai usaha mengurangkan jangkitan, memutuskan rantaian, dan agar ekonomi terus berjalan,” menurut surat itu.
Schneider berkata, KKM percaya bahawa sektor perkilangan adalah punca utama jangkitan, dengan 99 kluster setakat ini.
“(Sektor) pembinaan turut disebut tetapi memandangkan ia bukan di bawah skop Miti, kami tidak membincangkannya secara terperinci. Oleh kerana asrama pekerja dan kegiatan berkaitan (pengangkutan, kegiatan sosial) terutamanya dikenalpasti sebagai masalah, manakala tapak perkilangan sendiri lazimnya menunjukkan kepatuhan yang memadai, MITI bersama-sama dewan perniagaan bersama-sama membincangkan beberapa langkah yang boleh diambil.
“Sementara kita menunggu maklumat lanjut daripada kementerian dan oleh kerana masa amat penting, kami berkongsi hasil awal dengan anda,” katanya lagi.
Kenapa tidak sekarang? – Najib
Sementara itu dalam catatan melalui Facebook beliau, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan melaksanakan kawalan ketat termasuk kepada sektor perkilangan dan pembinaan sekarang, bukannya selepas 4 Februari.
Katanya, kerajaan tidak perlu mengambil masa lebih lama termasuk sehingga terpaksa melaksanakan PKP 3.0 untuk melakukan sekatan lebih ketat kepada dua sektor itu kerana ia akan memberi kesan kepada sektor lain termasuk menambah penderitaan rakyat lebih lama.
“Jika nak buat secara ketat dengan melarangkan sektor kilang dan pembinaan, buatlah ‘all-out’ sekarang. Jangan tunggu dan paksa rakyat menderita lagi lama di bawah PKP,” katanya sebagai reaksi kepada surat EuroCham tersebut.
Beliau berkata, jika peraturan longgar ketika PKP ini diteruskan hingga 4 Feb dengan sektor menyumbang peningkatan jangkitan seperti perkilangan dan pembinaan dibenarkan beroperasi, jangkitan akan tetap tinggi.
“Jika PKP 3.0 berlaku, sektor-sektor lain tidak berkaitan (selain perkilangan dan pembinaan) yang terpaksa sia-sia berkorban 23 hari untuk PKP 2.0 nak ‘claim’ kerugian dari siapa?
”Kenapa tak laksanakan secara ketat tanpa kelonggaran awal-awal lagi pada PKP 2.0 seperti disaran saya dan ramai lagi?Kenapa hanya cadang nak buat selepas PKP 2.0 selama 23 hari telah terbazir? soalnya.

