
SHAH ALAM – Sejak seminggu dua ini, heboh berita mengenai daging import yang di bawa masuk secara haram oleh ‘kartel daging’ ke negara kita.
Ini meresahkan penduduk Malaysia khususnya umat islam yang bimbang sekiranya daging yang dibeli adalah daging haram.
Lebih membimbangkan, sijil halal yang di keluarkan pihak berkuasa telah dipalsukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Berita–berita yang tular mengenai daging haram ini di media masa sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan para peniaga daging di seluruh negara.
Menurut seorang peniaga daging, Firdaus Ramli, 33, yang membantu bapanya yang sudah berniaga daging lebih 30 tahun di Pasar Seksyen 6, Shah Alam, daging-daging lembu yang dijualnya dibeli dari dalam negara dan semestinya daging-daging tempatan yang disembelih oleh orang Islam dan diyakini halal.
Firdaus berkata, daging import yang dijualnya adalah dari syarikat pengimport yang benar-benar mendapat sijil halal yang sah dari pihak berkuasa dan terbukti daging-dagingnya halal dan bersih.
“Saya tak ambil daging import dari pengimport-pengimport baru, kerana yang baru ni lah yang belum pasti kualiti dan pengesahan halal nya,” katanya kepada UtusanTV.
Mengenai berita-berita yang tular mengenai kartel daging haram, ini sedikit sebanyak menjejaskan perniagaannya kerana orang ramai ragu-ragu utuk membeli daging kerana mereka ingatkan semua daging yang dijual telah bercampur dengan daging haram.
“Dah la masa PKP ni orang kurang, orang ramai pula menyebarkan berita-berita yang tidak betul mengenai daging yang di jual, lagi la terjejas perniagaan kami,” katanya yang kesal mengenai tindakan segelintir masyarakat yang suka menyebarkan berita-berita tidak sahih.
Dia juga meminta agar mereka menghentikan berita-berita tidak benar itu kerana ia tidak bertanggungjawab dan menjejaskan ‘periuk nasi’ para peniaga, terutama peniaga kecil seperti mereka.

Menurut seorang lagi peniaga daging, Syeikh Mohd Khan, 61, dia hanya menjual daging- daging tempatan sahaja kerana daging-daging tempatan ini segar dan baru dan sudah pasti dijamin halal.
Walaupun daging tempatan harganya agak mahal sedikit dari daging import, tetapi pelanggan tidak kisah untuk membelinya, katanya.
Mengenai berita tular mengenai daging import yang haram, dia berasa kesal kerana ada orang ramai yang sengaja menyebarkan berita-berita palsu mengenai daging-daging ini.
“Orang kita ni suka sebarkan berita yang tak betul, berita yang betul jadi tak betul, berita tak betul jadi betul, biar kerajaan yang menjalankan siasatan,” katanya.

Dia juga berharap pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang mengenai daging import kerana melibat kesucian agama Islam serta masyarakat Malaysia yang beragama Islam memang sensitif mengenai halal dan haram dalam setiap makanan yang dibeli dan dimakan.
Dia yang turut menjual pelbagai jenis daging seperti lembu dan kambing, berharap orang ramai jangan mudah terpedaya dengan berita-berita palsu mengenai daging import kerana daging-daging yang dijualnya adalah daging-daging yang terbukti halal. – UTUSANTV

