KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berundur dengan pelbagai kain rentang dan sepanduk yang mengandungi perkataan nista serta kurang sopan sebagai budaya tidak sihat dalam parti itu.
Justeru Timbalan Presiden UMNO tersebut menegaskan, apa yang dilakukan bukanlah budaya dan nilai UMNO, malah bukan adab susila sebagai orang Islam dan Melayu.
”Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi Presiden, yang wajar disantuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya. Kita boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana UMNO itu nilainya demokratik, tetapi jangalah sampai ia membawa kepada sengketa yang akhirnya memecah-belahkan UMNO, pepatah Melayu berpesan, ‘menurut biar berakal, menentang biar beradab’, ’’ tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyeru, semua ahli UMNO kembali kepada kesatuan dalam parti itu dengan saling mendamaikan antara satu sama lain.
”Sedikit bibit perpecahan antara kita, akan memberi peluang kepada lawan kita untuk meretakkan UMNO dengan sebesar-besar keretakan dan perpecahan. Jangan sesekali kita membuka ruang untuk persahabatan dan setiakawan dalam UMNO di adu dumba, sehingga kita menjadi berseteru antara satu sama lain,’’ katanya.
Beliau berkata, tiada siapa yang akan untung atas perpecahan UMNO dan tiada siapa juga yang akan menang, sebaliknya sama lebur sama binasa.
”Kekhuatiran saya ialah akhirnya, yang akan menjadi korban ialah UMNO dan bangsa Melayu. Justeru untuk kesekian kalinya saya titipkan hikmah Melayu yang berbunyi, …’antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang akan kenyang’,’’ katanya.
Mohamad menyeru, semua ahli UMNLO membangunkan era baru untuk parti itu dengan kesatuan dan muafakat
‘Serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk’. Era di mana perbezaan kita diuruskan dengan sopan, berhikmah dan melalui jalan yang disepakati.
”Era di mana parti diperkuatkan dengan iltizam untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia, Melayu, Islam dan Demokrasi sebagai keutamaan dalam semua yang utama.
Dan akhirnya, era dimana UMNO dihormati sebagai jurucakap sebenar rakyat Malaysia dan bangsa Melayu dan bukannya parti yang rakus dengan kuasa dan kedudukan, InshaAllah,’’ katanya.

