KUALA LUMPUR – UMNO mencadangkan kepada kerajaan supaya menyediakan kupon subsidi untuk pembelian laptop – misalnya RM1,000 untuk B40 dan RM500 untuk M40.
Ketua Penerangannya, Shahrul Sufian Hamdan berkata, jika ia digunakan secara total pun, jumlah belanja adalah RM3 bilion.
Katanya, jumlah itu tak sampai satu peratus daripada Belanjawan 2021 dan sama ada kupon fizikal mahupun e-wallet, kedua-duanya boleh dipertimbang.
“Tak perlu spesifikasi ketat dan proses perolehan rumit. Biar pelajar dan ibu bapa putuskan “device” apa mereka mahu beli – selagi ia memadai untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Tambahan lagi, kupon atau baucar untuk menambah kitaran belanja dalam ekonomi – insya-Allah tidak ada masalah,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Ujar beliau, Malaysia ada hampir 4.8 juta pelajar sekolah rendah serta menengah, dan mengambil sifir mudah, B40 ada dua juta pelajar dan M40 juga dua juta orang.
Justeru kata Shahril, kunci untuk menangani cabaran PdPR ini ada di pihak Kerajaan kerana mustahil NGO, parti politik atau orang persendirian boleh sediakan laptop untuk semua yang memerlukan.
Katanya, Belanjawan 2021 menggariskan 150,000 laptop hasil sumbangan GLC dan GLIC dibawah inisiatif CERDIK dan Yayasan Hasanah (Khazanah Nasional) memaklumkan bahawa ia menjadi sekretariat inisiatif ini, dikendalikan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah menetapkan spesifikasi laptop yang hendak diberikan kelak.
“Sepatutnya perkara ini diselesaikan lebih awal, dan spesifikasi laptop pun sewajarnya boleh ditentukan tahun lepas lagi – tetapi tidak mengapa; kita pandang ke depan.
“Soal lebih besar, adakah angka 150,00 itu berasaskan kajian mendalam tentang jumlah pelajar dan isi rumah yang memerlukan laptop untuk PdPR?
“Kajian Kementerian Pendidikan sendiri tahun lepas membayangkan 37 peratus pelajar tidak ada sebarang peranti elektronik. Dikalangan yang ada peranti, kebanyakannya adalah telefon pintar dan bukan laptop/tablet atau PC.
Andaian saya – 150,000 laptop tak cukup,” ujarnya.
Menurut Shahril, sewaktu Belanjawan 2021 dibentang mungkin Kerajaan mengharapkan sekolah dapat dibuka tetapi realiti sudah berubah.
“Kita sudah hampir masuk bulan Februari dan belum tentu bila sesi persekolahan dibuka semula dan belum tentu takwim sekolah 2021 tidak “diganggu” lagi kelak.
“Sekarang sudah jelas isu ini berpanjangan dan PdPR bukan lagi satu kemahuan tetapi sudah menjadi keperluan merentasi seluruh segmen. Jika ada idea atau kaedah lain, amat dialu-alukan.
“Tetapi yang penting, semua pelajar mesti ada kemampuan menjalani PdPR dan Kerajaan mesti mengutamakan kebajikan pelajar dan mengesyorkan mereka agar situasi hari ini tidak akan menghalang pelajar dari menerima pendidikan berkualiti,” katanya.