KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia tidak akan melaksanakan penutupan ekonomi sepenuhnya meskipun angka penularan COVID-19 terus meningkat.
Sebaliknya, kata beliau, langkah bersasar seperti dilaksanakan ketika ini akan diperkukuh sekiranya keadaan menjadi semakin buruk.
“Kita perlu fokus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat. Jika angka jangkitan menurun sekalipun dan kita tidak memberikan tumpuan kepada SOP ketat, angka ini boleh kembali meningkat,” katanya dalam wawancara bersama CNBC.
Beliau menjelaskan, risiko negatif daripada PKP masih wujud walaupun kerajaan melaksanakan langkah rangsangan termasuk memperuntukan Belanjawan 2021 yang terbesar.
“Wujud risiko. Kami akan terus mengawal penularan COVID-19 supaya lebih banyak sektor ekonomi boleh dibuka.
“PKP 2.0 ini berbeza kerana 90 peratus sektor ekonomi yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dibuka. Cuma kita lakukan sekatan aktiviti sosial,” katanya.
Tengku Zafrul juga yakin sasaran pertumbuhan 6.5 peratus hingga 7.5 peratus bagi tahun ini masih boleh dicapai berdasarkan segala langkah rangsangan yang diwujudkan.
“Masih terlalu awal untuk menilai. Jika kami perlu menyuntik lagi pakej rangsangan, kerajaan akan lakukan dan ia sudah pasti akan menjejaskan sasaran defisit fiskal.
“Namun jika ia membantu pertumbuhan KDNK dan pendapatan, sasaran (defisit fiskal) masih kekal,’ katanya.
Selasa lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kira-kira 2.8 juta orang jika berisiko kehilangan pekerjaan sekiranya penutupan penuh ekonomi dilaksanakan bulan depan.
Beliau berkata, kerajaan akan mempertimbangkan secara menyeluruh kesan-kesan yang mungkin akan berlaku sebelum memutuskan tindakan selanjutnya selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 berakhir pada 4 Februari ini.
“Ya, kita mahu jaga kesihatan rakyat, tapi kita juga mahu lindungi kepentingan rakyat terutama golongan miskin. Jika kita tutup, tentu jejaskan ekonomi. Kesannya, 2.8 juta rakyat berisiko hilang kerajaan, 2.5 juta sukar meneruskan kelangsungan, B40 akan hilang pendapatan dalam tempoh sebulan dianggarkan RM6.4 bilion dengan purata RM2,400 satu keluarga,” katanya.

