KUALA LUMPUR – Ketika beberapa pemimpin politik cuba menonjolkan diri dengan mengkritik tindakan kerajaan tidak menutup sektor ekonomi sepenuhnya bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 apabila melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini bagaikan memberi mesej kepada kelompok itu supaya ‘dengarlah denyutan nadi rakyat’.

Sambil menceritakan pengalamannya mengunjungi sebuah warung di Datuk Keramat di sini, hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, walaupun kerajaan membenarkan warung menjual makanan secara bungkus tetapi pendapatan mereka merosot 50 peratus berbanding membenarkan pelanggan makan di dalam warung atau restoran.

‘’Cuba kita bayangkan kalau tutup terus restoran tersebut, warung tersebut boleh survive ke tidak..orang golongan miskin, orang golongan peniaga mikro ni. Kita kena fikir walaupun kita tahu nyawa sangat penting dalam masa juga kita juga perlu menjaga kepentingan ekonomi rakyat,’’ tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat sekatan jalan raya di Sentul dan Plaza Tol Gombak.

Kenyataan Ismail Sabri itu dipercayai merujuk tindakan beberapa pemimpin politik termasuk daripada UMNO yang menganggap pelaksanaan PKP oleh kerajaan tidak memberi kesan untuk membendung penularan pandemik Covid-19. Justeru ada antara mereka menganggap PKP yang dilaksanakan bertaraf ‘separuh masak’ yang kononnya akan menyusahkan rakyat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan, kehidupan rakyat miskin perlu diberi perhatian walaupun kita mahu menjaga kesihatan.

‘’Orang miskin terutamanya B40, mereka yang hidup cara kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, hidup bergantung kepada pendapatan harian untuk memberi makan anak esok bergantung kepada apa yang mereka perolehi hari ini.

‘’Dulu kita (buat PKP) selama hampir tiga bulan, saya dimaklumkan oleh mereka, wang simpanan pun dah habis dah, dia kata kalau kerajaan tutup semua perniagaan termasuk warung-warung tepi jalan dan sebagainya, mereka tak tau macam mana nak hidup, duit dah tak ada,’’ katanya.

Beliau juga membangkitkan persoalan, apa akan berlaku kepada golongan miskin itu jika kerajaan membuat keputusan melaksanakan PKP sepenuhnya selama dua minggu tetapi kes Covid-19 tidak juga selesai.

‘’Katakanlah kita tutup dua minggu, bagaimana kalau kes tak selesai dua minggu, kita tambah dua minggu lagi, macam PKP pertama dulu, kita tutup dua minggu akhirnya hampir tiga bulan. Jadi fikirlah juga dalam masa yang sama, penghidupan rakyat miskin walaupun kita menjaga kesihatan.

‘’Bak kata orang, kita tak mahu rakyat kita mati kerana covid, kita juga tidak mahu rakyat kita mati kerana tak makan kerana tidak ada pendapatan untuk menjaga keluarga mereka dan sebagainya.

”Kita kena buat perimbangan antara menjaga kepentingan ekonomi dan juga kepentingan rakyat untuk hidup. Ini bukan soal rakyat kita nak kaya. Macam peniaga tepi-tepi jalan ni yang jual air campur, air cendol semua tu, pendapatan dia mungkin RM50 saja satu hari yang itulah yang diberikan makan kepada keluarga mereka. Jadi ini kena fikir juga,’’ kata beliau.

Ismail Sabri turut memaklumkan bagaimana beliau turut menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada peniaga besi buruk yang mengeluh tidak tahu bagaimana mahu hidup jika mereka terus tidak dibenarkan beroperasi.

‘’Itulah suara rakyat, saya diajar untuk mendengar denyutan nadi rakyat ni. Jadi kita perlu dengar denyutan nadi rakyat, bagaimanapun dari segi tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , kita akan teruskan. KKM akan teruskan dari segi menjaga kesihatan, kita pula fokus kepada kilang dan tapak binaan yang menyumbang jumlah tertinggi kepada kes positif Covid-19.

‘’Kluster pasar pagi tak ada lagi, kluster gerai tepi jalan tidak ada, jadi sebab itulah kita buat tindakan berdasarkan fakta yang ada, kita fokus kepada kilang dan juga tapak binaan. Kita arahkan semua pekerja warga asing buat swab test secara wajib, di seluruh negara. Langkah itu bagi membolehkan kita memantau status kesihatan mereka,’’ katanya.

Selain itu, Ismail Sabri turut memberitahu, kerajaan turut akan meminda Ordinan Darurat melibatkan perumahan pekerja-pekerja asing yang dipercayai menjadi punca kepada peningkatan kes Covid-19.

“Perumahan juga salah satu punca (peningkatan kes) kerana perumahan tak kondusif. Pekerja-pekerja duduk secara berhimpit sehingga 20 orang dalam satu rumah. Jadi mungkin kita akan pinda Ordinan Darurat untuk memastikan majikan menyediakan tempat yang baik untuk pekerja dalam waktu yang kita tetapkan.

“Jadi, kita ada kilang, tapak binaan dan kita sudah tutup banyak kilang kerana melanggar peraturan,” jelas beliau.