KUALA LUMPUR – Bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim memaklumkan dirinya kini sedang sarat hamil anak keempat.
Berita gembira itu dikongsikan oleh Azrinaz, 42, menerusi laman Instagramnya, dia turut memuat naik beberapa keping gambar memperlihatkan perutnya yang kian membesar.
“Ini bukan gambar lama. Apa yang anda lihat memang sedang berlaku sekarang. Saya kini sedang hamil anak keempat.
“Saya sedang sarat hamil tujuh bulan atau lebih tepat lagi kandungan ini sudah memasuki minggu ke-30. Alhamdulillah syukur kerana diberi peluang untuk hamil sekali lagi pada usia begini,” katanya.
Azrinaz bagaimanapun tidak menyangka akan hamil sekali lagi setelah dua tahun melahirkan anak ketiganya, Areesya Malaykha.
“Saya tak sangka disahkan mengandung pada jarak usia yang agak rapat dengan Areesya, tetapi kenapa nak tunggu lagi sedangkan saya mampu untuk lakukannya sekarang.
“Doakan semoga saya dan bayi dalam kandungan dipermudahkan sehingga hari kelahiran nanti,” katanya.

Azrinaz mendirikan rumah tangga dengan teman lama, Fairos Khan Abdul Hamid,45, pada 1 Mei 2018 yang mana ini merupakan perkahwinan kedua bagi Azrinaz. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Areesya Malaykha yang berusia dua tahun.
Sebelum ini, Azrinaz pernah berkahwin dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada 2005 dan hasil perkahwinan itu Azrinaz dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Pengiran Muda Abdul Wakeel,15, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah,13.
Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

