Darurat setahun, Malaysia pantau situasi di Myanmar

Dari Penulis

PUTRAJAYA – Malaysia memandang serius perkembangan di Myanmar yang kini diletakkan di bawah darurat selama setahun dengan berharap junta tentera itu memberi keutamaan menjaga keamanan serta kedaulatan di negara terbabit.

Kementerian Luar berkata, Myanmar wajar menyelesaikan setiap perbezaan yang berlaku dalam pilihan raya menerusi sesi dialog secara damai.

“Malaysia sebagai negara jiran dan anggota ASEAN akan terus memberikan keamanan dan kestabilan, kerana ia penting demi kemajuan dan kemakmuran semua di rantau ini, termasuk di Myanmar.

“Malaysia sentiasa memberi sokongan kuat untuk peralihan demokrasi Myanmar, proses perdamaian dan pembangunan ekonomi yang inklusif.

“Penyatuan dicari rakyat Myanmar bergantung kepada kesepakatan dicapai pemimpinnya,” kata Wisma Putra dalam kenyataan seperti hari ini.

Tentera Myanmar mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Ming Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Perintah darurat itu diumumkan selepas tentera menahan Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Myanmar, U Win Myin dan pegawai kanan lain pagi tadi.

Sejak beberapa minggu lalu, tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.

Myanmar yang baru sedekad keluar selepas hampir 50 tahun diperintah tentera, masih berada di bawah sistem demokrasi dikawal ketat tentera walaupun pada hakikatnya berkongsi kuasa dengan kerajaan dipilih rakyat.

Pilihan raya pada November lalu adalah yang kedua di Myanmar sejak negara itu keluar daripada regim pemerintahan diktator 49 tahun.

Sementara itu, kata Kementerian Luar, Malaysia menyokong perbincangan diadakan dalam kalangan pemimpin Myanmar bagi mengelakkan kesan lebih buruk kepada rakyat dan negara itu terutama ketika penularan COVID-19.

“Sehubungan itu semua rakyat Malaysia di Myanmar dinasihatkan kekal tenang serta mematuhi nasihat keselamatan pihak berwajib.

“Rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan kecemasan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Yangon di talian+95 9 772 220 230 atau emelkan kepada [email protected],” kata kenyataan itu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Hospital Melaka jadi penanda aras nasional, terima peruntukan khas RM1.6 juta

HOSPITAL Melaka akan dijadikan penanda aras mandatori bagi pelaksanaan model pengurusan hospital di seluruh negara susulan kejayaannya mengurangkan kesesakan...

More Articles Like This