KUALA LUMPUR – Bukan hanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetapi sebelum PRU-13 lagi.

Tan Sri Tommy Thomas mendakwa mendapat sokongan tokoh DAP, Lim Kit Siang dan Karpal Singh (mendiang) untuk dilantik sebagai Peguam Negara (AG) sekiranya Pakatan Rakyat menang PRU-13 yang diadakan pada 2013.

Dalam memoirnya yang baru dilancarkan, My Story: Justice in the Wilderness, portal The Star melaporkan Tommy menceritakan bagaimana dia bertemu dengan Tun Salleh Abas (Allahyarham) untuk mendapatkan sokongan Pas dan Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi beliau memegang jawatan itu sekiranya gabungan Pas, DAP dan PKR ketika itu menang.

Walaupun gabungan pembangkang itu digelar Pakatan Rakyat (PRU-13), Tommy menyatakan dalam bukunya bahawa beliau calon utama untuk jawatan Peguam Negara sekiranya Pakatan Harapan menang pada PRU-13.

Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan pada tahun 2013.

Tommy tidak menamakan mereka yang menamakannya sebagai calon utama dan hanya menyebut mereka sebagai “kawan lama di Majlis Peguam.

Beliau juga mengimbau bagaimana dia kemudian mengunjungi mendiang Karpal di pejabatnya di Pudu sebelum PRU-13 pada 2013 untuk mengetahui apakah ada yang turut berpeluang dilantik ke jawatan AG.

“Saya kemudian bertanya Karpal apakah dia akan berkhidmat sebagai AG dan Karpal menjawab tidak. Saya kemudian memberitahunya keinginan saya. Karpal mengatakan bahawa dia akan menyokong sepenuhnya dan dia akan segera menyatakannya kepada rakan baiknya dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang. Dipersetujui bahawa perkara itu akan dirahsiakan.”

Lapor The Star lagi, kemudian, Tommy mengatakan bahawa pembangkang “tidak memenangi kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada tahun 2013 dan oleh itu, pencalonan beliau tetap menjadi rahsia, yang diketahui oleh beberapa orang sahaja”.

Tommy kemudian menulis bahawa pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad “sebagai pemimpin Pakatan Harapan untuk bertanding pada PRU-14 memberi kesan kepada peluangnya menjadi AG.

Beliau kemudian menceritakan tentang ‘hubungan turun naik’ dengan Dr Mahathir dan bagaimana hubungannya dengan bekas peguam Dr Mahathir, Matthias Chang membantu membuka pintu untuk dia mendekati PM ketujuh pada tahun 2015 mengenai perkara-perkara 1MDB dan reformasi undang-undang.

Tommy berkata, ketika PRU-14 semakin menghampiri pada tahun 2018, soal perlantikan AG sekiranya gabungan pembangkang menang dibangkitkan lagi.

“Saya memberitahu Zainur (Zakaria) dan Ambiga (Sreenevasan) mengenai perbincangan saya dengan Tun Salleh dan Karpal Singh pada tahun 2013 dan mereka menyokong pelantikan saya. Ia satu penyelesaian masalah.

“Beberapa hari kemudian, Zainur, Ambiga dan saya mengunjungi Tun Mahathir di pejabatnya. Zainur membicarakan peranan penting yang akan dimainkan oleh Peguam Negara baru dalam pemerintahan Pakatan Harapan. Tun bersetuju dan secara khusus menyebut isu 1MDB.

“Kemudian, Zainur mengesyorkan pelantikan saya, memuji pencapaian saya dan menyatakan bahawa saya akan menjadi calon yang ideal. Ambiga dan saya diam, begitu juga Tun Mahathir.”

Baca artikel berkaitan: Tommy dakwa Agong mahu Wan Azizah jadi PM interim, tapi Tun M campur tangan

Beliau kemudian menyentuh bagaimana Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 dan Dr Mahathir melantiknya sebagai AG, walaupun didakwanya “mendapat tentangan daripada Yang di-Pertuan Agong”, yang merupakan Sultan Muhammad V pada masa itu.

“Tun mengatakan bahawa dia bertegas mahu pelantikan saya, dan saya harus menyerahkan perkara itu kepadanya.”

Menurut Tommy lagi, tiada nama calon lain sebagai AG yang diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

My Story: Justice in the Wilderness kini tersedia untuk dibeli. Mereka yang berminat mendapatkan buku itu boleh melakukannya melalui laman web Gerakbudaya.