
JASIN – Jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera yang disahkan mempunyai kesan lebam serta luka, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, di sini, jam 12.40 tengah hari tadi.
Ketibaan jenazah menggunakan van disediakan masjid kariah Simpang Bekoh itu turut diiringi beberapa ahli keluarga kandung dan keluarga angkat mangsa.
Turut hadir, ahli keluarga angkat mangsa, termasuk ibu bapa angkatnya, Norlida Abu Hassan dan Md Tarmidi Yaaccob.
Memetik laporan BH Online, polis dilihat mengawal ketat kawasan madrasah dan tanah perkuburan dengan hanya ahli keluarga serta beberapa penduduk kampung dibenarkan memasuki kedua-dua lokasi berkenaan.
Wakil media yang membuat liputan pula tidak dibenarkan masuk ke kawasan tanah perkuburan atas permintaan keluarga kandung.
Terdahulu, jenazah dibawa dari Hospital Melaka kira-kira jam 10 pagi selepas dituntut wakil keluarga kandung mangsa.
Baca artikel berkaitan: Ibu mangsa dera pernah terima rawatan psikiatri – Polis
Keluarga angkat terpaksa akur dengan keputusan dicapai menerusi perbincangan kedua-dua pihak, lewat malam tadi.
Norlida dan Md Tarmidi sebelum ini dilaporkan memohon kebenaran keluarga kandung mangsa supaya jenazah dikebumikan di Rawang, Selangor, namun ditolak.
Proses bedah siasat mayat kanak-kanak itu bermula kira-kira jam 11 pagi semalam sebelum selesai jam 10 malam tadi.
Polis dilapor mengesahkan ada beberapa kesan lebam, termasuk luka lama dan baharu pada anggota badan mangsa, khususnya di kepala serta belakang badan kanak-kanak itu.