Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sebuah sidang akhbar di ibu negara tahun lalu./ Gambar FB KDN

PUTRAJAYA – Angka penularan COVID-19 yang dilaporkan setiap hari bukan direka-reka kerajaan seperti mana dakwaan segelintir pihak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang merupakan salah seorang daripada lebih 200,000 individu positif COVID-19 berkata, sebaliknya ia adalah fakta sebenar seperti direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

“Mustahil Menteri Dalam Negeri sengaja mahu masuk hospital hampir sebulan jika bukan menjalani rawatan COVID-19,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menceritakan pengalamannya dalam tempoh rawatan, Hamzah berkata, sakit kepala keterlaluan seakan mahu ‘meletup’ dan berasa bisa seluruh anggota badan antara pengalaman dilaluinya.

Hamzah yang baru memasuki kerja hari ini berkata, beliau juga masih perlu menjalani sesi fisioterapi dua kali seminggu untuk memulihkan kekuatan paru-parunya.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu menjalani kuarantin seminggu sejak dibenarkan pulang pada 24 Januari lalu selepas menjalani rawatan 12 hari di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Artikel berkaitan: Hamzah Zainudin stabil, di PPUM jalani rawatan COVID-19

Hamzah Zainudin menteri terbaru positif COVID-19

Sebelum disahkan positif, beliau menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari di rumah kerana menjadi kontak rapat kepada seorang pegawainya.

“Saya nak beritahu, saya nak maklumkan kepada semua pastikan kita patuh dengan penjarakan fizikal.

“Saya tak tahu daripada siapa saya mendapat jangkitan COVID-19 tapi bila dah kena, memang sakit. Siapa kata tak sakit?

“Sakit semua anggota badan macam kena demam urat, lemah badan. Kalau ia serang kepala, Allah… saya rasa macam nak meletup kepala, sakitnya tak kira, saya tak tahu nak cakap macam mana sakit,” katanya.

Hamzah berkata, keadaan menjadi lebih teruk apabila bacaan enzim dalam hatinya meningkat setinggi 900, menyebabkan doktor yang merawat perlu berhati-hati ketika memberi ubat.

Berikutan itu, tempoh pemulihan beliau agak perlahan selain mengalami demam sehingga suhu badan mencecah 38.9 darjah Celcius.

Sepanjang tempoh rawatan, Hamzah banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Quran dan beribadah.

“Saya berdoa pada Allah supaya penyakit ini lari dari Malaysia. Macam mana nak lari dari sini? Kita kenalah memastikan diri dengar arahan serta tidak mengada-adakan cerita yang bukan-bukan untuk menakut-nakutkan orang,” katanya.