KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,391 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Selangor, Johor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan penularan tertinggi.
Pada masa sama, kes kematian akibat COVID-19 kekal tinggi apabila 19 lagi individu yang positif virus itu dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Pertambahan ini menyaksikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat pandemik itu kini berjumlah 845 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan kes baharu yang dicatatkan empat daripadanya kes import dan menjadikan jumlah kumulatif kes akibat wabak itu kini 234,874 kes.
“Jumlah kes yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) pula mencecah 310, dengan 134 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 48,751 kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Noor Hisham, Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 1,228 kes (36.2 peratus), diikuti Johor (598 kes) dan Kuala Lumpur dengan 395 kes.
Sementara itu Sabah mencatat 196 kes; Negeri Sembilan (116); Pulau Pinang (149); Perak (92); Sarawak (178); Melaka (141); Kedah (91); Kelantan (58); Pahang (51); Terengganu (84); Labuan (tujuh); Putrajaya (enam) dan satu di Perlis.
Mengenai jumlah kematian baharu, Noor Hisham berkata, 17 daripada 19 kematian direkodkan hari ini melibatkan warganegara dan dua kes adalah warga asing.
Tujuh kematian dilaporkan di Kuala Lumpur, lima di Sabah, masing-masing tiga kematian di Selangor dan Sarawak serta satu kes di Perak.
Dalam pada itu, sebanyak 3,392 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya daripada wabak itu kini 185,278.
Mengenai 15 kluster baharu hari ini, Noor Hisham berkata ia melibatkan 12 kluster penularan di tempat kerja, dua kluster penularan komuniti dan satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

Bagi kluster di tempat kerja, lima di Selangor iaitu Kluster Jalan Mokhtar; Kluster Jalan Enam Belas; Kluster Bandar Teknologi; Kluster Persiaran Jaya dan Kluster Jalan Lima, serta dua di Johor, Kluster Jalan Rumbia Dua dan Kluster Sri Sengkang.
Kluster di tempat kerja yang lain ialah Kluster Jun Heng di Sarawak; Kluster Tapak Bina Jalan Valdor (Pulau Pinang); Kluster Industri TTJ (Negeri Sembilan); Kluster Santong Paka (Terengganu) dan Kluster Industri Bentong Sebelas di Pahang.
Sementara itu, dua kluster penularan dalam komuniti masing-masing di Pahang, Kluster Hikmah Muadzam dan Kluster Taman Murni, manakala hanya satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Jalan Jubilee di Kuala Lumpur.

