KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agak menghairankan apabila prosedur operasi standard (SOP) yang dibentangkan untuk Tahun Baru Cina kali ini menerima kritikan hebat.
Menurut beliau, sedangkan SOP untuk sesuatu perayaan bukan Islam termasuk Tahun Baharu Cina diputuskan Majlis Keselamatan Negara setelah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
Katanya, untuk Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, dua kali KPN mengadakan sesi libat urus melibatkan 21 badan pertubuhan agama, Persatuan Kebudayaan Cina, Buddha, Tao, Kristian, Persatuan Perniagaan Cina termasuk Sabah dan Sarawak serta pihak-pihak berkaitan bagi sama-sama menyediakan SOP.
“Sebab itulah, agak menghairankan apabila SOP yang dibentangkan untuk Tahun Baru Cina kali ini dikritik hebat oleh masyarakat.
“Walau bagaimanapun, jika terdapat sebarang perubahan yang ingin dilakukan oleh KPN selepas mendengar pandangan ramai, KPN boleh membentangkan semula kepada MKN untuk dipertimbangkan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
SOP MKN untuk sambutan Tahun Baharu Cina yang diumum beliau semalam mendapat kritikan masyarakat Cina dan tidak terkecuali Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Dalam pada itu, menurut Ismail Sabri, SOP sambutan Tahun Baharu Cina yang diumumkan semalam adalah SOP ketat yang telah dilaksanakan sewaktu setiap perayaan.
Katanya, untuk makluman semua, setiap SOP perayaan bukan Islam yang diumumkan kepada orang ramai adalah hasil pembentangan yang dibuat oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan mendapat persetujuan daripada Sidang Khas MKN.
“Sebelum membentangkan kepada Sidang Khas MKN, KPN terlebih dahulu WAJIB mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan bersama wakil setiap pertubuhan keagamaan dan persatuan kebudayaan kaum-kaum terbabit.
“Kemudian, KPN akan mengangkat hasil perbincangan tersebut untuk dibincangkan semula bersama MKN dan KKM khususnya bagi menilai dari segi risiko kesihatan.
“Setelah keputusan antara KPN, Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dibuat, barulah KPN akan mencadangkan kepada Sidang Khas MKN untuk diluluskan dan selepas diluluskan barulah SOP tersebut diumumkan kepada rakyat,” jelasnya.
Tegas beliau, sebagai contoh sebelum SOP untuk Deepavali, Thaipusam, Krismas, Hari Gawai serta Pesta Kaamatan diumumkan, KPN telahpun berbincang dan mendapat persetujuan bersama pemimpin agama yang berkaitan bagi membangunkan SOP yang akan dikeluarkan.
“Pada kebiasaannya, bagi menghormati keputusan tersebut, kerajaan jarang mengubah SOP yang telah diputuskan KPN bersama pemimpin agama dan pertubuhan berkaitan,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai operasi pematuhan SOP semalam, seramai 747 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 723 dikompaun manakala 24 individu direman.
“Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (159), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (113), tiada penjarakan fizikal (140), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (156), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (50), keluar rumah tanpa alasan munasabah (41) dan lain-lain (88),” ujarnya.

