Selepas 5 tahun, akhirnya berlaku pendakwaan isu hartanah Mara Inc di Melbourne

Dari Penulis

KUALA LUMPUR – Selepas hampir lima tahun dengan beberapa kenamaan direman pada awal siasatan isu pembelian hartanah milik anak syarikat Majlis Amanah Raya (Mara) di Melbourne, Australia, akhirnya hari ini berlaku proses pendakwaan kes berprofil tinggi itu.

Ia melibatkan bekas Pengerusi Mara Inc, Datuk Mohammad Lan Allani yang dihadapkan dengan 20 pertuduhan rasuah dan dua pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM20.45 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melibatkan urus niaga hartanah di Australia itu.

Pendakwaan dilakukan di dua Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Ia dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Memetik laporan media, Lan yang mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan kemudian dibenar ikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan bekas Pengerusi Mara Inc ditahan untuk didakwa hari ini.

“Pendakwaan adalah di bawah Seksyen 16 (a), 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2010.

“Datuk berusia 65 tahun dikatakan telah menerima rasuah sebanyak RM33.45 juta hasil pembelian hartanah di Australia oleh Mara Inc,” memetik kenyataan yang dikeluarkan SPRM.

Pada Ogos lalu, dua Ahli Parlimen pembangkang menggesa SPRM mengambil tindakan segera berikutan mahkamah Australia telah mendakwa beberapa individu rakyat Malaysia berkaitan tuduhan rasuah dalam pembelian bangunan di Melbourne oleh anak syarikat Mara Inc Sdn Bhd pada tahun 2012 dan 2013.

Mereka berkata, pihak Australia telah mendakwa pemberi rasuah dalam isu pembelian bangunan berkenaan tetapi mempersoalkan apa pula tindakan pihak berkuasa Malaysia dengan mereka yang disebut sebagai pegawai Malaysia yang menerima habuan tersebut?

Susulan gesaan pembangkang itu, bekas Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa menyenaraikan tiga nama yang boleh membantu siasatan SPRM yang mana mereka mempunyai kaitan rapat dengan pemimpin Kerajaan Warisan Sabah ketika itu.

Dudley International House di Melbourne, Australia. – Foto ihsan MARA Inc

Memetik laporan Bernama pada 2016, sayap pelaburan Mara itu terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age, yang mendakwa ia membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Laporan awal akhbar The Age Australia

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli Mara, iaitu agensi yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

SPRM telah menjalankan siasatan kes berkenaan dengan beberapa individu termasuk yang bergelar Datuk pernah ditahan reman pada 2016.

Berikutan pendakwaan terbaru di Australia Ogos lalu ke atas individu yang merasuah pegawai Malaysia, pemimpin pembangkang membuat gesaan supaya SPRM mengambil tindakan baru ke atas mereka yang menerima suapan berkenaan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Nasib Syed Saddiq sama ada kekal bebas atau dipenjara diketahui hari ini

NASIB Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada kekal bebas atau dijatuhi hukuman penjara akan diketahui...

More Articles Like This