KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON95 dan diesel ketika ini ditetapkan kerajaan berdasarkan sistem apungan mingguan.
Ini bermakna jika harga minyak dunia naik, maka minyak untuk pasaran runcit juga akan naik.
Begitu juga kalau turun, ia juga akan dijual lebih rendah berdasarkan formula ditetapkan secara mingguan.
Namun sejak kebelakangan ini, trend minyak di pasaran meningkat minggu ke minggu.
Justeru timbul persoalan apa akan jadi jika harga minyak dunia terus naik dan naik yang mana ia pernah melebihi AS$100 setong?
Sebenarnya, tidaklah ikut sama melonjak kerana pada pentadbiran lalu harga siling bagi petrol dan diesel telah ditetapkan.
Dan Alhamdulillah, hari ini kerajaan mengumumkan harga siling dua produk itu diturunkan lagi tiga sen.
Ini bermakna daripada RM2.08 seliter, ia diturunkan kepada RM2.05 seliter bagi petrol RON95 manakala bagai diesel daripada RM2.18 kepada RM2.15 seliter.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah itu bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara apabila harga sebenar minyak di pasaran global meningkat.
Beliau berkata paras harga siling bagi kedua-dua produk itu lebih rendah berbanding had harga yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada 2019.
“Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi.

“Keputusan ini diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, trend harga minyak global itu turut dipengaruhi oleh pelan vaksinasi COVID-19 yang mula dilancarkan secara beransur di seluruh dunia di mana Malaysia juga akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannya bermula hujung bulan ini.
Katanya kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia.
“Langkah yang bersesuaian akan diambil bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

