LOS ANGELES – Selepas terkandas selama 33 hari di sebuah pulau tidak berpenghuni di Bahamas, tiga individu diselamatkan pasukan pengawal pantai Amerika Syarikat (AS) dengan menjadikan kelapa sebagai sumber makanan sepanjang tempoh itu.
BBC melaporkan, keberadaan kumpulan itu dikesan seorang kru udara yang dalam rutin rondaan sebelum melihat mereka mengibarkan bendera buatan di Pulau Anguilla Cay.
Kumpulan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita warga Cuba itu mendakwa mereka berjaya hidup dalam tempoh lama dengan sebahagian besar bergantung kepada kelapa sebagai sumber makanan.
Seorang daripada kru terbabit dalam operasi menyelamat memaklumkan BBC bahawa beliau kagum mereka masih hidup untuk satu tempoh yang lama.
Kumpulan itu pertama kali dilihat di pulau antara Florida Keys dan Cuba, Isnin lalu.
Pegawai pasukan pengawal pantai, Riley Beecher berkata, semasa rondaan itu, dia terpandang sesuatu yang menarik perhatian matanya sebelum berpatah balik pada altitud yang lebih rendah.
Katanya, dia sedar terdapat orang di pulau itu memerlukan pertolongan.
Bagaimanapun kata Beecher, pesawat mereka tidak dilengkapi kelengkapan menyelamat namun terdapat makanan, air dan radio yang kemudiannya dijatuhkan bagi membantu mereka berkomunikasi.
“Agak malang kami tidak mempunyai anggota fasih berbahaya Sepanyol dan menerusi kefahaman bahasa Sepanyol saya yang tidak begitu lancar, dapat difahami mereka adalah warga Cuba dan memerlukan bantuan perubatan.
“Mereka mengesahkan sudah berada di pulau itu selama 33 hari,” kata Beecher, semalam.
Kumpulan itu mendakwa, mereka terdampar di pulau tersebut selepas bot mereka karam dan berenang untuk sampai ke daratan.
Seorang lagi anggota pengawal pantai, Justin Dougherty berkata, kumpulan itu kemudiannya memaklumkan mereka dapat hidup dengan lebih lama dengan bergantung kepada sumber makanan dari kelapa.
“Sekali pandang, pulau itu tidak mempunyai apa-apa namun terdapat pokok renek dan beberapa pokok lain dan mereka mampu bertahan dengan elemen itu,” katanya.
Media AS melaporkan, mereka juga mampu bertahan dengan menjadikan tikus dan siput sebagai makanan.
Mereka akhirnya berjaya diselamatkan menggunakan helikopter, kelmarin dan dibawa bagi mendapatkan bantuan perubatan di Florida dan tiada kecederaan serius dilapor terhadap ketiga-tiga trio itu.
Kata pasukan pengawal pantai, mereka kemudiannya dipindahkan ke Jabatan Penguatkuasaan Kastam dan Imigresen AS.
Anggota Penyelamat mendakwa mereka tidak pernah menyaksikan situasi itu sebelum ini.
“Saya tidak pernah berjumpa dengan mereka yang terkandas untuk tempoh masa yang lama sebelum ini,” kata Dougherty.

