Calon SPM menatap jenazah bapa di luar dewan periksa

0
1968
calon SPM
Gambar Muhamad Haikal yang menatap kali terakhir wajah bapanya sebelum memenduduki peperiksaan Sejarah Kertas 2 menjadi tular./ Gambar FB Badariah Mohd mohaidin

MENATAP kali terakhir wajah ibu atau ayah yang dijemput Ilahi adalah saat-saat yang penuh emosi buat seorang anak.

Sejuta rasa akan bermain di fikiran dan hati apabila harus berpisah dengan insan tersayang buat selama-lamanya.

Namun, apa yang dilalui seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Haikal Iskandar Zamry, 18, hari ini sangat luar biasa.

Pelajar itu menatap kali terakhir wajah bapa dari atas van jenazah yang singgah di pekarangan sekolahnya sebelum beliau menduduki peperiksaan Kertas Sejarah 2.

Ramai tidak dapat menahan sebak menonton video saat-saat calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Kuala Kangsar itu diberi kesempatan menatap jenazah bapanya buat kali terakhir hari ini.

Justeru, tidak hairan apabila video dirakam guru bimbingan dan kaunseling sekolah itu, Badariah Mohd Mohaidin menjadi tular di seluruh negara.

“Menghampiri pukul 10 pagi untuk peperiksaan Sejarah Kertas 2. Van jenazah singgah ke sekolah. Seorang ayah yang sudah tidak bernyawa dibawa berjumpa anak buat kali terakhir.

“Semoga Allah memberikan kekuatan kepada Muhammad Haikal Iskandar untuk menjawab SPM (SMK Simpang Beluru),” kongsi Badariah dalam hantarannya di Facebook.

Rakaman video yang dimuat naik Badariah mengenai kisah calon SPM itu dikongsi lebih 11,000 pengguna Facebook.

Video berdurasi selama 58 saat menggunakan lagu ‘Salam Terakhir’ nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad itu sememangnya mengundang reaksi sedih netizen.

Sementara itu, memetik laporan BH online, Badariah berkata, jenazah bapa Muhammad Haikal Iskandar dibawa ke sekolah atas cadangan ibunya memandangkan peperiksaan kertas mata pelajaran Sejarah 2 yang dihadapi tidak memungkinkan pelajar terbabit menatap jenazah bapanya itu.

Katanya lagi, sebelum ketibaan van jenazah itu, Haikal ditenangkan oleh guru yang melihat dia menangis tanpa henti pada waktu rehat selain menyediakan bilik khas bagi dia bertenang dan melepaskan emosinya yang tidak begitu stabil.

Tambah Badariah, bapa pelajar itu pada mulanya koma ketika dirawat di Hospital Taiping sejak kelmarin, akibat komplikasi buah pinggang, hati selain jangkitan kuman dalam darah namun pelajar terbabit tidak berpeluang menziarahi arwah disebabkan prosedur operasi standard (SOP) pandemik COVID-19.

“Arwah meninggal dunia semalam namun baru hari ini jenazah dibenarkan keluar dari hospital untuk dikebumikan. Bagaimanapun Haikal (Muhammad Haikal Iskandar) tetap ingin menduduki kertas peperiksaan hari ini walaupun ayahnya sudah tiada.

“Ketibaan van jenazah ke sekolah sememangnya untuk beri peluang kepada Haikal menatap wajah arwah buat kali terakhir memandangkan peperiksaan yang didudukinya sehingga petang.

“Jika arwah balik rumah untuk menghadiri pengebumian ayahnya memang tidak sempat, malah Haikal terlewat 20 minit berbanding calon lain yang sudah masuk menduduki kertas Sejarah 2 ketika menghabiskan masa menatap arwah bapanya itu,” katanya ketika dihubungi BH Online hari ini.

Baca artikel berkaitan:401,105 pelajar SPM cipta sejarah, duduki peperiksaan dengan norma baharu

Beliau berkata, Muhammad Haikal yang mengikuti aliran Sains Kemanusiaan adalah anak sulung dari tiga beradik dengan latar belakang keluarganya adalah dari keluarga kurang berkemampuan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.