KEUNTUNGAN bersih Maybank Berhad dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 merosot 20.9 peratus kepada RM6.48 bilion berbanding RM8.20 bilion tahun sebelumnya didorong peningkatan rosot nilai akibat kesan berterusan pandemik Covid-19.
Perolehan bank keempat terbesar Asia Tenggara dari segi aset itu turut berkurangan 3.48 peratus kepada RM51.03 bilion sepanjang 12 bulan tahun lalu berbanding RM52.87 bilion tempoh sama tahun 2019.
Walaupun menghadapi tahun mencabar, Maybank turut merekodkan pendapatan operasi bersih yang stabil apabila naik sedikit kepada RM24.76 bilion berbanding tahun sebelumnya dipacu peningkatan 12.3 peratus jumlah pendapatan berasaskan yuran bersih kepada RM8.11 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, prestasi stabil yang direkodkan Maybank itu disokong oleh kepelbagaian operasi dan tumpuan untuk memastikan kecairan serta asas modal yang kukuh.
Baca artikel berkaitan: PKP 2.0: Bank-bank sedia lanjut bantuan, moratorium
Walaupun menjangkakan persekitaran kekal mencabar dalam jangka sederhana, Abdul Farid berharap momentum ekonomi akan meningkat sebaik sahaja kempen vaksinasi bergerak dengan lebih komprehensif.
“Kumpulan kekal komited untuk mematuhi amalan perbankan yang baik dan pengurusan berhemah yang menjadi asas kami serta dalam masa sama mencari peluang menjana pendapatan yang baharu dan memanfaatkan kemampuan teknologi kami untuk menyediakan produk serta perkhidmatan berkelas dunia,” katanya dalam sidang akhbar secara maya, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Farid turut menyasarkan pertumbuhan stabil dari segi pinjaman bergantung kepada kedudukan ekonomi yang diunjur bertambah baik tahun ini.
Menurut Abdul Farid, mengambil kira situasi tahun lalu di mana Maybank berjaya meningkatkan pinjaman gadai janji sebanyak RM10 bilion, automotif serta perusahaan kecil dan sederhana sebanyak RM3 bilion, tidak mustahil institusi perbankan tersebut mampu mencapai pertumbuhan positif tahun ini.
“Sememangnya apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur melantun semula tahun ini iaitu kira-kira 5.1 peratus di Malaysia dan kadar sama di Singapura serta Indonesia, kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman kembali meningkat.
“Walau bagaimanapun, semuanya bergantung kepada aktiviti ekonomi dan bagaimana kita mampu pulih semula daripada pandemik ini,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

