sawan dalam bentuk deja vu

Sawan dalam bentuk deja vu? Sawan atau epilepsy adalah sejenis penyakit serangan mengejut sehingga menyebabkan kekejangan, kancing gigi, jatuh rebah, mulut berbuih dan badan terketar-ketar.

Penyakit ini terjadi kerana gangguan dalam bahagian otak yang berlaku secara berulang-ulang. Dalam situasi lain sawan juga boleh berlaku dalam bentuk deja vu.

Menurut Dr. Sufian, Pakar Neurologi Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL),      sawan dalam bentuk deja vu terjadi disebabkan oleh kerosakan pada otak kiri di bahagian ‘hippocampus’ dan ‘visual cortex’. Hippocampus berfungsi sebagai tempat simpanan memori manakala ‘visual cortex’ pula adalah tempat simpanan visual peristiwa yang berkaitan.

Contoh sawan jenis ini, apabila seseorang sedang rancak berbual-bual di dalam satu majlis seperti hari jadi misalnya, dengan tidak semena-mena dia terdiam secara tiba-tiba.

Dia kelihatan seperti mengelamun. Dalam kepalanya terbayang kembali majlis hari jadinya yang sudah lepas. Setelah beberapa kali ditegur barulah dia tersedar dan menyambung semula perbualannya yang terhenti tadi.

Jelasnya, sawan ini tidak menyebabkan kekejangan, rebah, mulut berbuih dan tubuh terketar-ketar. Ia dikenali juga sebagai sawan kecil. Mereka yang mengalaminya seolah-olah berada di luar kehidupan nyata. Mereka seolah-olah dapat melihat peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini. Sungguhpun begitu, sawan kecil ini juga boleh menyebabkan terjadinya sawan besar.

“Manakala kajian terhadap orang sihat yang mengalami deja vu pula mendapati otak bahagian kiri mengalami gangguan tetapi tidak melibatkan ‘hippocampus’ dan ‘visual cortex’, sebaliknya melibatkan bahagian menyimpan memori di kawasan ‘insular cortex’.

Bahagian ini terletak pada otak kiri dan berfungsi sebagai ‘executive function’ yang mengawal tingkah laku dan perbuatan manusia dalam situasi yang kelam kabut,” ujarnya.

Kaitan deja vu dengan halusinasi

Halusinasi adalah pengalaman seolah-olah dapat melihat, mendengar, atau menyentuh sesuatu yang sebenarnya tidak wujud. Dalam istilah perubatan disebut delirium.

“Individu yang mengalami halusinasi akan berada dalam keadaan keliru di antara realiti dan khayalan. Halusinasi tidak ada kaitan langsung dengan deja vu. Halusinasi terjadi adalah disebabkan oleh gangguan kesihatan, umur lanjut dan pengambilan ubat tertentu,” jawab Dr. Sufian apabila diajukan soalan tentang kaitan deja vu dengan halusinasi. 

Tambahnya, kataraks juga boleh menjadi punca terjadi halusinasi. Kerosakan pada kanta mata akan menyebabkan cahaya tidak dapat masuk sepenuhnya, akibatnya, muncul bayang-bayang pada penglihatan. Orang yang menghidap penyakit Parkinson juga berisiko terdedah kepada halusinasi.

Menjawab pertanyaan adakah deja vu boleh diprogramkan dengan menggunakan teknologi tertentu Dr. Sufian berkata, secanggih mana sekalipun teknologi tidak sampai ke tahap untuk memprogramkan deja vu berlaku dalam diri seseorang.

Namun, dari segi ‘tracking’ untuk mencari punca berlakunya jenayah pegawai penyiasat akan meletakkan diri mereka dalam suasana kejadian untuk mencari punca jenayah itu. Usaha ini dikenali sebagai ‘route cause analysis’ namun begitu deja vu yang dialami oleh pegawai penyiasat tersebut adalah lebih kepada bentuk teknikal atau kajian dan bukanlah refleks kepada deja vu yang sebenar.

Ada pula pandangan yang mengatakan deja vu mungkin adalah imbasan tentang perjalanan hidup manusia di alam roh. Ini kerana setiap perkara yang berlaku dalam hidup manusia sudah tertulis di luh mahfudz. Maka, terjadinya deja vu adalah disebabkan oleh hubungan yang rapat di antara jasad dengan spiritual.

“Dalam buku ‘Principle of Neurology’ yang ditulis oleh Allan H. Ropper, Martin A. Samuels dan Joshua P. Klein ada membincangkan tentang perkara ini. Mereka turut membuat kajian tentang tentang deja vu dari pelbagai sudut termasuklah kaitannya dengan alam roh. Semua ini dirumuskan kepada satu situasi yang disebut ‘dyscognitive state’ seperti dibincangkan tadi,” jawab Dr. Sufian  

“Saya percaya setiap perkara yang ditulis di dalam buku-buku perubatan moden bukannya datang dengan sendiri, sebaliknya ia berdasarkan kepada penulisan yang lepas dan sudah pasti ada sumber rujukannya.

“Jika dikaji secara lebih mendalam, rujukannya tidak mustahil adalah bersumberkan daripada ahli-ahli perubatan Islam moden sehinggalah sampai ke tokoh ilmuan silam seperti Ibnu Sina dan sebagainya.

Sarjana perubatan pada zaman itu mungkin sudah lama membincangkan perkara yang berkaitan deja vu dan perbincangan mengenainya masih berlarutan sehingga ke hari ini. Wallahu a’lam

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram