Sungguhpun doktor memberitahu dia disahkan lumpuh dan tidak ada harapan untuk pulih, Ahmad tidak pernah putus asa. Dia menggunakan pelbagai cara tradisional dan moden bagi memulihkan dirinya. Di mana sahaja terdengar ada orang pandai mengurut, dia akan pergi
Dalam dia berusaha itu, Ahmad mendapat ilham untuk memulihkan semula kecederaan yang dialaminya. Ketika itu, bagai ada satu suara yang menyuruhnya.
“Ahmad Bashah, engkau buat begini ya… tanam dalam pasir, duduk tepi pantai, biar ombak pukul belakang…!” suara itu tergiang-ngiang menyuruhnya melakukan sesuatu.
Berpegang kepada prinsip dalam komando bahawa tiada yang tidak boleh dilakukan dalam dunia ini, Ahmad meminta isterinya supaya membawa dia ke pantai.
Tiba di pantai, dia mengorek pasir lantas menanam tubuhnya sehingga ke paras leher. Bahang panas pasir seolah-olah membakar urat saraf seluruh anggotanya. Selepas menanam tubuh dalam pasir, dia kemudiannya berenang dan menyelam. Orang lain yang melihat perlakuannya itu berkata: “Tengok komando gila tu.”
Dia melakukannya setiap hari selama satu jam untuk tempoh sebulan.
Bagi memudahkannya berulang-alik dari tempat kerja ke rumahnya di Kampung Pasir Panjang, di Sekincan, Selangor, Ahmad dipindahkan ke Unit Simpanan Tentera Darat di Sabak Bernam. Di situlah Ahmad menjalankan tugas membuat kerja-kerja ringan.
Apabila pulang ke kampungnya di Pasir Panjang, dia meneruskan amalan menanam badan dalam pasir. Tapi bila saja Ahmad keluar ke pantai menanamkan badan dalam pasir, orang kampung akan berkata: “Hah tengok, Mat Komando gila sudah keluar!”

Bagaimanapun, dia tetap bersabar dengan cakap-cakap orang yang mencemuh perbuatannya sebaliknya terus berdoa sepanjang masa agar Tuhan memulihkan lumpuhnya dengan segera.
Suatu pagi, Ahmad dilawati oleh ketuanya. Melihat kedatangan ketuanya itu, Ahmad terus bangun memberikan tabik hormat tanpa menyedari dia sudah boleh berdiri tanpa bertongkat. Semua yang ada di situ terkejut besar.
“Ahmad! Awak sudah boleh berdiri. Tahniah!” kata ketuanya.
“Saya sendiri tidak sedar macam mana saya boleh melakukannya. Tidak lama kemudian kaki saya beransur pulih dan saya terus sedekahkan kerusi roda saya kepada kepada rakan yang cacat. Saya terus berenang dan membuat kerja-kerja yang melanggar arahan dan nasihat doktor. Akhirnya dalam tempoh lapan bulan saya pulih seperti sediakala,” kata Ahmad ketika menceritakan keadaan dirinya.
Doktor sendiri terkejut dengan Ahmad yang berjaya memulihkan dirinya yang lumpuh. Lebih memeranjatkan, Ahmad selepas itu mampu menambah zuriat. Bukan satu, tetapi lima orang anak.
“Saya merasa seperti mati hidup semula. Sukar untuk saya ceritakan bagaimana saya boleh sembuh semula. Ini semua kuasa Tuhan. Saya bersyukur kerana masih sihat, dapat anak dan boleh hidup tanpa bertongkat seperti orang lain,” jelas Ahmad.
*********
Ketika ditemuramah untuk artikel ini, Ahmad Komando waktu itu sudah bersara. Namun dia tetap mencintai dunia komando yang telah menjadikannya seorang yang tabah dan tidak takut mati melainkan apabila ajal sudah tiba.
Oh ya, memang benar Ahmad Komando digelar ‘kebal’ sebab selepas dia pulih semula daripada lumpuh, dia mampu melakukan perkara yang tidak mampu dilakukan manusia biasa.
Sewaktu wartawan Mastika menemuramahnya dahulu, Ahmad turut menunjukkan bagaimana belakang tubuhnya dibaling dart yang terbenam dalam daging badannya, tetapi dia sedikit pun tidak berasa sakit.

Ahmad ketika itu turut menunjukkan aksi dengan berbaring di atas kepingan kaca yang tajam berselerakan dan berceracak. Tanpa ragu-ragu Ahmad menggolek-golekkan badannya. Belum sempat membayangkan belakangnya koyak rabak ditikam kepingan kaca, empat keping batu bata diletakkan pula di atas dada Ahmad dan dengan sekuat tenaga, tukul besi dihayunkan ke arah batu-bata tersebut.
Batu-bata itu pecah berderai di atas tubuhnya. Ahmad bangun tersenyum sambil menyapu-nyapu debu akibat pecahan batu-bata dan kaca-kaca yang melekat di belakang tubuhnya tanpa mengalami sedikit pun kecederaan.
Tak cukup lagi, Ahmad menambah aksi lain. Dia berdiri tegak sementara seorang anak saudaranya memukul besi sepanjang kira-kira dua meter ke arah bahunya.
Papppp! Hayunan besi keluli itu singgah di bahu kirinya. Ahmad tidak berganjak, tapi besi itu yang terbengkok. Aksi itu diulang lagi dengan besi lain. Kali ini, besi itu dihayunkan ke tubuh Ahmad. Pun sama, besi itu bengkok. Sedikit kesan lebam kelihatan pada bahagian tubuh yang dipukul besi, tetapi Ahmad langsung tidak berasa sakit, apatah lagi cedera.
Bukan itu sahaja, Ahmad mampu menarik trak tiga tan, mengangkat besi 100 kilogram dan batu 80 kilogram, malah membengkokkan dua batang besi sebesar dua sentimeter sekali gus cuma menggunakan giginya. Lebih ngilu pada yang melihat apabila Ahmad mampu mengunyah kaca gelas atau botol yang dipecahkan serta menelan tiga pisau pencukur sekali gus. Malah, kakinya yang sebelum itu lumpuh sudah boleh menerajang dengan kuat sehingga mampu menghumban jauh tubuh seseorang jika ia berbuat demikian.
Memang luar biasa kekuatan yang diperolehi Ahmad Komando. Bermula daripada jatuh payung terjun yang menyebabkannya lumpuh, dia menanam dirinya dalam pasir sehingga ditertawakan orang, lalu dia sembuh sepenuhnya, bahkan mampu memperoleh kekuatan luar biasa berbanding manusia normal.

