Kenduri: Pesara didakwa anjur majlis kahwin anak masa PKP

Dari Penulis

MAJLIS kenduri kahwin sepatutnya meninggalkan kenangan manis bukan sahaja buat pengantin tetapi juga ahali keluarga.

Namun, bagi seorang pesara di Mentakab, ia menjadi sebaliknya sehinggakan berdepan pertuduhan jenayah.

Ini berikutan tindakannya menganjurkan majlis makan sempena perkahwinan anak perempuannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggakan ada jemputan yang hadir disahkan positif COVID-19 kemudian.

Pesara tersebut, Abu Bakar Osman, 59, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.

Beliau mengaku bersalah atas pertuduhan menganjurkan majlis makan (perkahwinan anaknya) yang diketahuinya majlis itu berkemungkinan menyebabkan jangkitan penyakit berbahaya kepada nyawa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah di taman perumahan di Mentakab antara 1 tengah hari hingga 2 petang pada 13 Februari lalu mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut laporan BERNAMA, Majistret Ti Pei Si membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh untuk menjatuhkan hukuman pada 23 Mac ini.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Tan Yu Tang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan.

“Pendapatan tertuduh hanya pencen bulanan berjumlah RM1,500 yang digunakan untuk menyara seorang isteri dan seorang anak yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi,” kata peguam itu.

Difahamkan tertuduh menganjurkan majlis itu tanpa kebenaran pihak berkuasa dengan menjemput jiran dan ahli keluarga sebelum seorang daripada jemputan disahkan positif Covid-19 beberapa hari selepas menghadiri kenduri tersebut.

Saringan pemeriksaan yang dilakukan terhadap ahli keluarga lain yang menghadiri majlis itu juga mendapati enam turut positif jangkitan tersebut.

Polis hanya meluluskan permohonan mengadakan majlis akad nikah di pejabat agama dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan tanpa kenduri memandangkan Pahang diletakkan di bawah PKP mulai 22 Januari hingga 18 Februari lalu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pemandu Almera gagal kawal kereta, rempuh Civic di Jalan Tun Razak

TINDAKAN seorang lelaki dipercayai menekan pedal minyak secara berlebihan menyebabkan kereta dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lagi kenderaan...

More Articles Like This