sprm pdrm

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya tohmahan daripada gabungan beberapa parti politik kononnya agensi penyiasatan itu dijadikan ‘senjata politik’ dalam melaksanakan tindakannya.

Menerusi satu kenyataan media pada Sabtu, SPRM turut menegaskan bahawa agensi penyiasatan itu bebas dan sentiasa memastikan tindakannya berlandaskan undang-undang tanpa membabitkan kecenderungan politik.

Malah tohmahan tersebut dianggap sebagai tidak berasas serta tidak bertanggungjawab kerana perkara itu boleh menjejaskan imej SPRM sekali gus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap agensi penyiasatan itu.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menafikan dakwaan yang sama iaiti pasukan keselamatan itu dijadikan ‘senjata politik’ bagi menjalankan siasatan dengan objektif mengambil tindakan terhadap pemimpin politik pembangkang.

“Saya menegaskan bahawa PDRM tidak pernah tertekan untuk berbuat demikian dan tidak akan membenarkan pasukan ini diperalatkan bagi tujuan menyekat prinsip demokrasi,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata tindakan polis memanggil pemimpin tertentu adalah untuk merakam kenyataan berhubung video tular yang membabitkan mereka.

Abdul Hamid berkata proses siasatan adalah telus oleh pegawai penyiasat yang melaksanakan tugas dengan professional dan bertanggungjawab.

“Sesiapa pun tidak perlu bimbang dengan dakwaan kononnya PDRM akan mula meningkatkan tekanan demi membantu kepentingan politik kerajaan. Dakwaan sesetengah pihak bahawa kami bertindak berat sebelah adalah tidak wajar sekali.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengutamakan perkara mengenai usaha memerangi COVID-19 dan elakkan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran orang ramai,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan pada Jumaat, mengecam sekeras-kerasnya penyalahgunaan agensi-agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

BERITA BERKAITAN Gagal lucut hak, SPRM wajib tamat beku akaun UMNO Selangor

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendakwa terdapat siri tindakan daripada agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain memberi tekanan terhadap Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang, pegawai-pegawai malah ahli keluarga mereka.

“Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan-tindakan masih terus dilakukan bersekali dengan tekanan untuk Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” dakwa Majlis PH. – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram