HANYA kerana salah faham, insiden dua lelaki bergaduh di lampu isyarat berdekatan Lebuhraya Sprint Damansara, Petaling Jaya yang tular di media sosial semalam, menyebabkan kedua-duanya ditahan polis.

Kejadian seorang lelaki dilihat memukul seorang warga tua dengan kunci stereng itu dipercayai berlaku selepas penunggang motosikal dipercayai membunyikan hon kepada pemandu teksi yang dipercayai bertindak memotong laluan secara melulu tanpa memberikan isyarat.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd. Faisal, kejadian yang berlaku pada pukul 6.20 petang semalam itu melibatkan seorang penunggang motosikal berusia 46 tahun manakala pemandu teksi pula berumur 71 tahun.

“Setibanya di lampu isyarat, penunggang motosikal terbabit bertindak menegur pemandu teksi berkenaan sehingga tercetusnya pertengkaran mulut.

“Ia membawa kepada tindakan penunggang terbabit mengetuk cermin kereta milik pemandu teksi itu,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor BERNAMA hari ini.

Baca artikel berkaitan: Parti liar: Polis akan didakwa jika sah positif dadah – KP Perak

“Tidak kira ‘Datuk Seri’ atau ‘Tan Sri’, jika terlibat jenayah kita tahan – Ayob Khan

Nik Ezanee berkata, pemandu teksi itu kemudian dilapor mengeluarkan kunci stereng dan didakwa memukul penunggang motosikal itu sehingga mendatangkan kecederaan pada tangan kanannya.

“Pemandu teksi itu bagaimanapun turut membuat laporan polis mendakwa penunggang motosikal berkenaan telah mengancam dirinya dengan menggunakan topi keledar selain memukul dengan menggunakan kunci stereng yang dirampas daripadanya,” katanya.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan kedua-dua lelaki berkenaan pada pukul 4.25 pagi ini untuk siasatan lanjut.

Nik Ezanee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan selain Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar.

Satu video berdurasi satu minit 36 saat memaparkan dua invididu terbabit bergaduh di persimpangan lampu isyarat telah tular dalam media sosial.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram