MUKTAMAR Agung Tahunan Pas kali ke-67 hanya akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, perkara itu seperti diputuskan kepimpinan parti itu baru-baru ini.
“PRU-15 dijangka selepas darurat (darurat COVID-19 tamat 1 Ogos) dan Muktamar Pas selepas PRU-15.
“Tak kiralah bila PRU-15,” kata Takiyuddin seperti dilapor portal Astro Awani.
Jelas Takiyuddin ketika ditemui di Kota Bharu, Pas membuat keputusan itu kerana mahu menumpukan soal pilihan raya.
“Pas memutuskan muktamar akan diadakan selepas PRU ke-15, tak kiralah bila.
“Setakat ini, keputusan kita pun tak tahu bila PRU.
“Jangkaan PRU bila darurat ditamatkan, mengambil kira jangkaan muktamar selepas PRU15,” kata Takiyuddin.
Beliau menjelaskan, ketetapan yang dibuat parti setakat ini adalah menangguhkan muktamar sehingga PRU15 selesai.
Baca artikel berkaitan: Kali pertama darurat ada tempoh tamat, PM jawab kritikan
Muktamar tahun lepas diadakan pada September dengan Kota Bharu sebagai tuan rumah.
Ia diadakan dalam suasana norma baru akibat pandemik COVID-19 dengan mengehadkan kehadiran pemerhati, perwakilan dan pimpinan Pas seluruh negara.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

