AHLI Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon yang berdepan notis tuntutan RM10 juta daripada PKR menegaskan tindakannya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan kerana didorong jawatan dalam Kabinet.
Bekas pemimpin PKR itu bagaimanapun bersedia mempertimbangkan untuk menerima jawatan dalam sebarang jawatankuasa yang memberi manfaat kepada rakyat.
Berhubung notis tuntutan daripada PKR yang menuntut RM10 juta berikutan tindakannya keluar parti, Steven berkata, notis itu diterimanya menerusi perkhidmatan kurier.
Menurut Steven, beliau meminta peguamnya memberi maklum balas terhadap notis tuntutan itu.
“Saya sudah terima notis tuntutan daripada PKR semalam dan mengarahkan peguam membuat tindakan susulan,” katanya seperti dilapor BH Online hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Alam Sekitar dan Air ( KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, meninjau projek pengindahan Denai Sungai Kim Kim hari ini.
Pada 2 Mac lalu, PKR dilaporkan akan menghantar surat tuntutan kepada Steven susulan tindakannya meninggalkan parti berkenaan dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Baca artikel berkaitan:Tinggalkan PKR, sokong PN demi penuhi aspirasi pengundi
Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung dilaporkan berkata melalui tuntutan itu Steven dikehendaki membayar RM10 juta dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan undang-undang.
Pada 28 Februari lalu pula, Steven dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien masing-masing daripada PKR menyatakan sokongan kepada kerajaan PN apabila menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Keputusan Steven mengejutkan ramai pihak terutama selepas sehari isu tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor dilaporkan menyertai PKR.
Wakil rakyat berkenaan ialah ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Mohd Said Jonid.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

