KES baharu yang dilaporkan hari ini adalah terendah sejak pelaksanaan darurat bermula pertengahan Januari lalu apabila hanya 1,280 penularan dilaporkan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 464 kes (36.3 peratus).
Katanya, daripada jumlah ini, sebanyak 368 kes (79.3 peratus) di Selangor adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
Jelas Noor Hisham, negeri mencatatkan kes tertinggi selepas Selangor adalah Johor sebanyak 165 kes, Sarawak (163 kes), Pulau Pinang (143 kes) dan Kuala Lumpur, 119 kes.
“Hari ini juga menyaksikan sembilan lagi kematian dilaporkan dan ini menjadikan kes kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 1,186 kes.
“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Terengganu, Perak, Sabah, dan Sarawak.
“Sebanyak lapan (8) kes melibatkan warganegara dan satu (1) kes melibatkan bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Noor Hisham, sebanyak 2,345 kes sembuh baharu dilaporkan dan secara kumulatif kes discaj kini berjumlah 296,379.
Menurutnya, dengan perkembangan hari ini, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini turun kepada 18,704 kes.
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula 155 kes manakala 76 memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.
Baca artikel berkaitan: Jangkitan Covid-19 menurun ke 1,529 kes, terendah tahun ini
TAHNIAH! Kes baharu menjunam lagi kepada 1,555 penularan
Ujar Noor Hisham, terdapat sembilan kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.
Katanya, ia melibatkan enam kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster berkaitan komuniti dan satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi.
Tiga daripada kluster baharu itu dilaporkan di Johor, tiga lagi di Lembah Klang manakala masing-masing satu di Kedah, Pahang dan Pulau Pinang.
Daripada 1,212 kluster yang dilaporkan di seluruh negara sejak tahun lalu, sebanyak 457 daripadanya masih aktif.
“Sebanyak 63 kluster mencatatkan pertambahan kes baharu pada hari ini.
“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Perusahaan 10 (36 kes), Kluster Jalan U-Thant (35 kes), dan Kluster Jalan Nusa Mega (33 kes),” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

