Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di PWTC, GAMBAR: Media UMNO

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan antara perjanjian kerjasama untuk penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini adalah kerajaan perlu membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) awal tahun ini.

Ahmad Zahid berkata, dengan syarat tersebut, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ketika itu bersetuju menyertai PN dan melantik Perdana Menteri dari kalangan pemimpin parti yang bilangan ahli Parlimennya paling kecil.

Beliau berkata, sejak awal syaratnya ialah Parlimen hendaklah dibubarkan pada Januari 2021 dan Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun 2021 atau pada bulan Mac untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Agak menghairankan, PRU yang sepatutnya diadakan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat, berubah kepada proklamasi darurat atas alasan untuk memerangi COVID-19, sedangkan kita semua tahu hasrat sebenar.

“Tidak perlu sembunyikan udang di sebalik batu,” katanya ketika Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020).

Tambah Ahmad Zahid, pada awalnya UMNO bersetuju memberi sokongan secara ‘en bloc’ kepada pembentukan kerajaan baharu selepas keruntuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan setiap keputusan sewajarnya dirujuk kepada parti dan bukan dilakukan secara individu.

“Begitu juga dalam isu kerjasama dengan PPBM. Perlu saya tegaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) daripada awal pembentukan kerajaan PN ada tempoh jeda waktunya. Ini adalah keputusan besar parti. Kita tidak boleh berganjak.

“Walau ada orang mengatakan saya menggunakan kuasa veto, itu hanya satu tuduhan melulu. Perlembagaan UMNO tidak ada peruntukan untuk kuasa veto. Semua keputusan yang dibuat adalah secara jamai’e (collective). Ini adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi. Apa yang telah diputuskan adalah muktamad,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa UMNO tidak pernah dan tidak akan mendukung gabungan politik dalam PN.

“Ketetapan ini bukan hanya dari MKT tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang tidak senang dengan gelagat politik PPBM. Mereka berniat jahat untuk menghapuskan dan menggantikan UMNO. Jauh lebih besar daripada itu, rakyat dan negara sedang dibawa menuju kehancuran.

“Ia boleh dibuktikan apabila usul diluluskan di 124 Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian. Malah, 147 daripada 191 Ketua-Ketua UMNO Bahagian turut bersetuju menolak kerjasama tersebut.

“Anehnya, ada pula gerakan yang kemudiannya disusun untuk mengubah keputusan besar parti. Kita tahu siapa mereka. Sekilas ikan di air, kita tahu jantan betinanya,” jelasnya. – UtusanTV