SELEPAS kes baharu COVID-19 mencatatkan tiga angka buat kali pertama dalam tahun ini semalam, hari ini penularan harian yang dilaporkan kembali kepada empat angka dengan 1,133 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hari ini juga menyaksikan lapan kes import manakala daripada 1,125 kes tempatan, hampir satu pertiga daripadanya terdiri daripada bukan warganegara.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga melaporkan lima lagi kematian dengan kesemuanya terdiri daripada warganegara.

“Ini menjadikan kumulatif kematian akibat COVID-19 berjumlah 1,265,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau sebentar tadi.

Kes baharu COVID-19 hari ini kembali lebih 1,000 selepas mencatat tiga angka buat kali pertama dalam tempoh 2021 semalam.

Baca artikel berkaitan: Akhirnya cecah tiga angka, 941 kes Covid-19 hari ini

Tambah Noor Hisham, sebanyak 1,148 kes sembuh dilaporkan dan ini menjadikan kes aktif turun kepada 12,199.

“Daripada jumlah itu, 161 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 76 memerlukan alat bantuan pernafasan,” jelasnya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, Selangor mencatatkan kes tertinggi hari ini dengan 401 kes diikuti Pulau Pinang, 194 kes dan Sarawak, 153 kes.

Hari ini juga menyaksikan semua negeri melaporkan kes dengan Perlis, Putrajaya dan Labuan masing-masing melaporkan satu kes.

Dalam pada itu, KKM juga ingin memaklumkan terdapat sembilan kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.

Kata Noor Hisham, ia melibatkan lima kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

Lima daripada kluster tempat kerja dilaporkan di Lembah Klang dan satu di Negeri Sembilan manakala Sabah mencatatkan dua kluster komuniti manakala Johor masing-masing satu kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko.


Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram