Ahmad Zahid Hamidi pada PAU2020 yang lalu. /Gambar FB Ahmad Zahid

UMNO ada maruah dan nilai diri yang bukan hamba untuk mereka buli dan ganyang, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, keputusan meminta AHli Parlimen UMNO meletak jawatan dalam pentadbiran juga adalah berdasar suara perwakilan dan akar umbi.

“Ketika Persidangan Agung UMNO 2020 pada Sabtu dan Ahad lepas saya mendapat mandat sepenuhnya daripada perwakilan serta akar umbi.

“Mereka minta UMNO tarik sokongan kepada kerajaan PN. Mereka juga gesa Ahli Parlimen UMNO meletakkan jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC.

“Keputusan yang saya lakukan ini adalah berdasarkan suara perwakilan, akar umbi dan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO,” katanya menerusi Facebook beliau malam ini.

Dalam hantaran itu, Ahmad Zahid berkongsi tangkap layar laporan berita sebuah portal mengenai kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung menter-menteri UMNO yang tidak meletak jawatan.

Akui Ahmad Zahid, selama ini beliau diminta untuk membubarkan UMNO – parti yang sudah berusia 75 tahun dan jasanya buat agama, bangsa dan tanah air tidak ternilai.

Namun, katanya, kedegilan membubarkan UMNO menyebabkan beliau kini berdepan laluan yang amat sukar.

“Saya sedar saya antara ahli politik yang berdepan pertuduhan paling banyak di Malaysia. Itu antara harga yang perlu saya bayar sendiri.

“Saya juga tahu, kedegilan itu menyebabkan saya tidak dilantik sebagai menteri. Tetapi, itu bukanlah perjuangan saya.

“Perjuangan sebenar adalah tentang nasib agama, bangsa dan tanah air yang akan diteruskan. Jika menurut perintah bubarkan UMNO, semuanya akan musnah,” ujarnya.

Baca artikel berkaitan: “Kalau anak jantan letak jawatan menteri” – Zahid cabar seorang menteri UMNO

PAU nak PRU tahun ni, KJ pula nak pemilihan UMNO disegera

Dalam satu hantaran sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap rakan politik UMNO dalam Muafakat Nasional berfikir sejelas-jelasnya mengenai kepentingan untuk mempertahankan gagasan Muafakat Nasional yang asli.

“Belajarlah daripada kisah Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu yang semuanya gagal kerana gabungan politik dibentuk tidak jujur dan ‘genuine’,” jelasnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram