“KERAJAAN kita masih lagi kerajaan awam dan bukannya sebuah kerajaan junta tentera.”
Demikian tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan membidas tindakan kerajaan meminda Ordinan Darurat bagi memberikan kuasa kepada kerajaan menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai sangat membimbangkan, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata pelaksanaan darurat tidak boleh mengetepikan akauntabiliti dan ketelusan dalam apa juga keadaan sekali pun.
Beliau berkata, keabsahan tindakan pindaan Ordinan Darurat tidak semestinya memberikan ia legitimasi moral kerana sesuatu yang sah dalam darurat mesti dipandu serta diputuskan dengan nilai, moral dan prinsip.
“Apa lagi bila ia melibatkan perbelanjaan dana awam. Tiada keadaan walau serumit dan sesukar mana sekali pun, wajar melepaskan kerajaan daripada ‘rigorous scrutiny’ dalam membelanjakan wang rakyat dan hasil negara.
“Maka bertindaklah dengan norma dan tatakelola yang sesuai dengan sifat sebuah kerajaan awam,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook miliknya, hari ini.
Baca artikel berkaitan: UMNO mahu jadi pengemudi induk seperti Liverpool – Tok Mat
Mengulas lanjut, Mohamad bertegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu melakukan perkara yang betul dalam kadar segera dan sewajarnya demi kepentingan demokrasi Malaysia.
“Semasa dalam kedudukan daruratlah kerajaan mesti lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membelanjakan hasil negara kerana kelumpuhan mekanisme semak dan imbang serta Perlembagaan yang tidak berfungsi.
“Malaysia dan rakyatnya wajar mendapat kewibawaan lebih baik daripada pemerintah,” jelas beliau.
Satu undang-undang baharu yang membenarkan Perbendaharaan (Kementerian Kewangan), Menteri Besar atau Ketua Menteri meluluskan apa-apa perbelanjaan tambahan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa diwartakan semalam.
Ini berdasarkan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa 31 Mac 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan Jabatan Peguam Negara.
Ordinan itu yang dipinda dengan memasukkan dua seksyen baharu iaitu 10A dan 10B telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

