Hidup sederhana jauhi rasuah, seru IGP pada warga PDRM

0
375
rasa nak piat
Tan Sri Abdul Hamid Bador

KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mahu semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengamalkan hidup secara bersederhana dan menjauhi amalan rasuah.

Beliau menegaskan bahawa disiplin serta integriti setiap pegawai dan anggota tidak mengira jabatan mahupun pangkat, malah meminta warga pasukan keselamatan di setiap jabatan bersatu hati dalam memenuhi matlamat dan hala tuju sang saka biru.

“Rasuah perlu dihentikan. Amalan yang ditafsirkan sebagai salah laku termasuk budaya meminta-minta dan menganjurkan majlis keramaian juga harus dihentikan,” menurut intipati ucapannya ketika mengadakan lawatan rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, dekat sini hari ini.

Menurut laporan BERNAMA itu, yang turut hadir Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir dan Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah.

Menyentuh isu kartel pula, Abdul Hamid berkata, tidak salah bagi pegawai dan anggota bercita-cita memajukan kerjaya dengan hasrat naik pangkat, namun tidak boleh menggunakan kenaikan pangkat bagi mewujudkan kumpulan tertentu dalam pasukan untuk tujuan tidak baik.

Di samping menasihati semua ‘anak buahnya’ agar mementingkan keselamatan ketika bertugas terutamanya membabitkan tugas eskot dan cawangan kereta peronda polis (MPV), beliau mengingatkan supaya mereka tidak terbabit dengan salah laku jenayah.

“Penugasan anggota lokap perlu diselia dengan baik bagi mengelak berlakunya salah laku yang boleh mencemarkan nama baik PDRM dan menjejaskan keyakinan masyarakat berhubung keselamatan Orang Kena Tahan (OKT) di lokap,” katanya.

Baca artikel berkaitan: “Duit banyak-banyak nak rasuah malaikat dalam kubur?” Ayob Khan bicara soal integriti

Intipati ucapannya turut menyatakan bahawa pegawai dan anggota berasal dari Sabah dan Sarawak dibenarkan memohon bertukar kembali ke negeri asal setelah berumur 45 tahun ke atas, manakala petugas dari Semenanjung dibenarkan memohon kembali berkhidmat di negeri sendiri setelah cukup umur 50 tahun.

“Kebajikan pegawai dan anggota termasuk cuti terutama melibatkan mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak harus diberikan kemudahan sebaiknya,” menurutnya lagi selain mencadangkan kenaikan elaun perumahan bagi pegawai dan anggota yang berkhidmat di bandar besar.


Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram