“UMNO 3.0 itu apa? Tidak habis-habis, saya minta semua pihak, cukup-cukuplah.”

Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang meminta semua pihak supaya berhenti melaga-lagakan pemimpin dan mewujudkan kem tertentu dalam parti itu.

Hishammuddin sebaliknya berkata, semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha menjaga kestabilan UMNO daripada terus ‘bercakaran’.

Beliau turut menyatakan kebimbangan isu-isu memecah-belahkan UMNO termasuk rakaman audio perbualan didakwa mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta gerakan penubuhan UMNO 3.0 bukan sahaja dirasai bahangnya dalam kalangan akar umbi tetapi juga dipandang serong rakyat.

“Kita banyak lagi agenda kita. Saya sudah nyatakan apa yang penting adalah kestabilan parti kita sendiri.

“Usaha untuk melaga-lagakan pemimpin, usaha untuk mewujudkan kem-kem tertentu mesti berhenti kerana apa yang penting sekarang adalah untuk kita kukuhkan parti selepas Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini,” katanya seperti dilapor Bernama.com hari ini.

Baca artikel berkaitan: UMNO-Pas masih ‘cium mulut lagi’ kata Tok Mat

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Malaysia Prihatin Parlimen Sembrong di Paloh.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan isu yang timbul akan menjejaskan momentum UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15, Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata, ia sememangnya akan menjejaskan sekiranya tidak dibendung.

“Benda ini telah pun menular daripada awal dulu, saya sendiri secara peribadi menjadi mangsa sudah tiga tahun tetapi saya masih kekal lagi dalam UMNO. Dituduh macam-macam, saya masih kekal.

“Mereka boleh tuduh saya mengkhianati parti, saya hendak lompat parti tetapi sudah tiga tahun saya masih lagi dalam parti, jika kita habiskan masa tiga tahun lalu hanya memikirkan Datuk Hisham (Hishammuddin) hendak lompat parti atau tidak, itu hanya membazirkan masa dan tidak akan membantu membina UMNO kembali dalam keadaan yang kita harapkan,” jelas beliau.

Mengulas mengenai isu rakaman audio yang tular itu, Hishammuddin berkata, beliau menyerahkan urusan tersebut kepada pihak polis.

“Bagi saya, yang penting adalah pendirian parti dan kalau kita berbalik kepada pendirian Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, jelas apa sebenarnya UMNO mahukan.

“Sama ada benar atau tidak, palsu atau tidak rakaman, tidak menjadi satu perkara yang membimbangkan saya kerana semua tahu pendirian parti daripada awal ‘No Anwar, No DAP dan Yes Bersatu’ sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram