KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menghantar 11 unit lagi ventilator baharu berjenama Sternmed ke Sarawak dengan pengangkutan kesemuanya diuruskan dengan kadar segera.
Menurut KKM dalam kenyataan, kesemuanya ventilator itu akan dihantar ke Hospital Sibu melibatkan lima unit ventilator jenama Sternmed; dua unit ke Hospital Sarikei dan empat lagi unit berjenama Weinmenn ke Hospital Bintulu.
KKM turut memaklumkan sedang dalam proses mendapatkan tambahan ventilator baharu bagi memenuhi keperluan peralatan ventilator di seluruh negara termasuk Sarawak.
Kata KKM, memandangkan kes Covid-19 di Sarawak telah menunjukkan trend peningkatan sejak dua minggu lalu, kementerian itu telah pun menghantar 10 unit ventilator unit rawatan rapi (ICU) sedia ada jenis Draeger Evita 4 yang telah digunakan di Hospital Sungai Buloh bagi tujuan kecemasan.
“Dalam hal ini, kesemua 10 ventilator tersebut telah diuji dan berada dalam keadaan baik serta dihantar ke beberapa hospital di Sarawak melalui penerbangan Malaysia Airlines pada 12 April 2021.
“Hospital-hospital yang menerima bantuan tersebut adalah Hospital Sarikei (dua unit); Hospital Sibu (lima unit) dan Hospital Bintulu sebanyak tiga unit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: 2,341 kes baharu, Kelantan lapor 429 penularan
Media melaporkan lapan daripada 10 unit alat ventilator yang diberikan KKM kepada Sarawak pada 13 April lalu tidak berfungsi dengan baik dengan ventilator yang dihantar ke Sibu dan Bintulu tidak berfungsi sama sekali.
Dua unit yang dihantar ke Hospital Sarikei pula walaupun masih berfungsi tetapi harus terus dihidupkan kerana skrinnya akan terganggu setelah digunakan dalam waktu yang singkat.
Mengulas lanjut, KKM berkata, mengambil kira kegunaan peralatan tersebut adalah untuk kegunaan di ICU sahaja, ventilator-ventilator itu akan disambungkan ke unit saluran udara perubatan (MA4) di ICU sebelum digunakan manakala penggunaan ventilator di wad-wad biasa selain ICU adalah ventilator daripada jenis turbin yang mempunyai pemampat udara dalaman.
Setelah meneliti sepenuhnya dakwaan berkenaan, KKM mendapati bahawa terdapat kerosakan kemungkinan berpunca daripada proses pengangkutan peralatan tersebut ke fasiliti-fasiliti yang telah ditetapkan.
Katanya, perkara itu juga adalah berkemungkinan kerana sensor oksigen dan papan litar utama yang sangat sensitif terhadap getaran, suhu dan kelembapan semasa pengangkutan.
“Sebagai tambahan, KKM jgua telah menghantar lapan unit ventilator berjenama Weinmenn yang baharu serta lapan unit ICU Patient Monitor ke Hospital Sarikei.
“Tiga unit daripada ventilator tersebut telah diuji dan sedang digunakan sehingga kini manakala lima unit yang lain akan diuji dan ditauliahkan minggu ini,” jelas KKM lagi.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

