KISAH abang burger yang dikompaun RM50,000 baru-baru ini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) memang menarik simpati orang ramai kerana dikatakan tidak wajar.
Bagaimanapun, selain peniaga burger Wan Mohd Faisal Wan Kadir itu, dua lagi peniaga turut dikenakan kompaun sama oleh pihak polis pada hari yang sama iaitu Ahad lalu.
Antaranya ialah sepasang suami isteri yang berniaga colek, Mohd Azizi Mohd Nor dan Nik Norwati Nik Loh serta seorang peniaga kedai runcit, Mansah Marjurin, yang dikompaun bagi kesalahan beroperasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sudah tentu, sebagai peniaga kecil-kecilan, jumlah kompaun tersebut melebihi daripada kemampuannya untuk membayar.
Dia yang berniaga kedai runcit di Jalan Chempaka di sini berkata, dia tidak mampu untuk membayar kompaun kerana itu bayaran rumah juga sudah tertunggak tujuh bulan, selain sebuah kereta ditarik oleh pihak bank sejak PKP.
“Ambillah kedai runcit saya sebagai ganti, memang saya tidak akan mampu untuk membayar kompaun sebanyak RM50,000,” katanya memetik laporan Harian Metro Online.
BERITA BERKAITAN Colek atau abang burger, kompaun RM50,000 terlalu tinggi – Ismail Sabri
Menceritakan kejadian jam 11.40 malam itu ketika didatangi empat anggota polis, bapa kepada tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun itu mendakwa, premis kedai runcit miliknya sudah ditutup, namun hanya pintu kecil tidak berkunci kerana ketika itu ada saudara datang berkunjung.
“Memang saya sudah menutup kedai dengan keseluruhan pintu sudah dikunci, namun jam 10 malam saudara isteri datang berkunjung di kedai dan ketika itu kami sedang berborak di dalam kedai.
“Pintu kecil pula dibuka kerana ada anak kecil yang keluar masuk, bukannya untuk pelanggan. Selepas itu saya terkejut apabila anggota polis datang dan bertanyakan kenapa kedai masih beroperasi.
“Saya sudah menjelaskan dengan menunjukkan pintu gril yang ditutup namun tetap disaman dengan jumlah RM50,000,” katanya.
Mansah yang berasal dari Bukit Tinggi, Klang mengakui sangat terkejut melihat jumlah kompaun yang dikenakan kerana pendapatan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada jualan kedai runcit dan isteri juga tidak bekerja.
“Sejak malam itu, saya buntu dan tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan. Saya juga belum membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah kerana masih dalam suasana terkejut. Mungkin hari ini baru saya pergi membuat rayuan.
“Jika diminta bayar, memang saya tidak mampu, ambillah kedai runcit saya sebagai ganti,” katanya yang tinggal di Taman Tanjung Mas, di sini.
Dia turut berharap ada pihak tampil membantunya selain membantu dua peniaga lain yang dikenakan jumlah kompaun sama.
Media semalam melaporkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger di sini, Ahad lalu.
Beliau dilapor berkata, pihaknya akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga itu.
“Peniaga berkenaan akan dipanggil untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya dipetik.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

