AYOB Khan Mydin Pitchay memberi amaran jangan sesekali ada pegawai atau anggota Polis Johor meminta atau mengambil 'duit raya'

PEGAWAI dan anggota polis Johor diingatkan tidak meminta atau menerima duit raya jika tidak mahu diambil tindakan tegas, kata Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, jika terdapat aduan, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya kerana tidak akan bertolak ansur dengan kesalahan tersebut.

“Kalau ada aduan, saya akan ambil tindakan..tiada istilah duit raya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis INTAN Executive Lecture Series: Integriti, Penghayatan, Praktik dan Cabaran di Johor Bahru, semalam.

BERITA BERKAITAN Orang akan buat, atur, sekat tapi kalau Allah kata saya mati, saya akan mati – Ayob Khan

Katanya, bagaimanapun sumbangan berbentuk buah kurma atau sejadah pada bulan Ramadan tidak dianggap sebagai rasuah kerana ia merupakan hadiah daripada rakan-rakan.

“Kalau kalau duit raya ni lain.. kalau tauke-tauke judi ni bagi duit raya bukan RM1,000, kadang-kadang sampai RM10,000,” katanya.

Dalam ceramahnya semalam, Ayob Khan berkata penjawat awam terutama polis merupakan golongan yang mudah menerima rasuah kerana mereka sentiasa berurusan dengan masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, penjawat awam perlu mempunyai integriti yang tinggi agar mereka dapat menjalankan kewajipan tanpa diganggu oleh anasir-anasir yang merosakkan institusi kerajaan itu sendiri.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram