SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi sebuah syarikat pegangan kerana disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun tersebut.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, perintah reman selama empat hari sehingga 12 April 2026 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Azeren Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 hingga 2023.
“Siasatan awal turut mendapati urus niaga penjualan saham tersebut dipercayai melibatkan penilaian harga yang tidak munasabah (overvaluation) dan tidak setimpal sehingga menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta,” katanya.
Sehubungan itu, menurut sumber, siasatan telah dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM termasuk penggeledahan di 13 lokasi utama yang merangkumi agensi dan syarikat berkepentingan awam, premis pejabat dan kediaman individu-individu yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.
Selain tangkapan, sebanyak 62 akaun bank persendirian dan akaun syarikat yang berkaitan telah dibekukan, melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, kes tersebut turut disiasat berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah dan kesalahan jenayah lain yang berkaitan, khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

