Ke Perak sebab POCA, tapi jadi ketua geng curi dobi Ipoh pula

0
2309
A. Asmadi menunjukkan rampasan daripada geng Tiguan yang aktif mencuri wang kedai dobi sekitar Ipoh./ Gambar media sosial

DIA di Ipoh kerana menjalani hukuman bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 melibat kesalahan mencuri dan dadah.

Asalnya dari Selangor, kemudian ditempatkan di Perak mulai 4 Mac tahun lalu.

Terbaru, lelaki itu masih bergelumang jenayah, malah dipercayai jadi dalang utama kecurian premis dobi dan pecah masuk kediaman serta premis perniagaan sekitar Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, malah lelaki itu dipercayai menggunakan kepakarannya untuk merekrut ahli geng.

Dalam serbuan terbaru, kata A. Asmadi, tiga ditahan termasuk lelaki itu yang merupakan dalang utama selepas dipercayai terlibat mencuri duit di kedai dobi layan diri selain memecah masuk kediaman serta premis perniagaan, di sekitar bandar raya ini.

Katanya, dalang utama merupakan seorang lelaki berumur 25 tahun ditahan di sebuah rumah di Bercham, 25 April lepas.

“Dua yang lain, berumur 21 dan 26 tahun, ditahan sejurus kemudian pada hari sama di kawasan Tambun.

“Siasatan mendapati lelaki terbabit (dalang utama) mempunyai 29 kes lampau termasuk berkaitan dadah,” katanya pada sidang media hari ini seperti dilapor Bernama.com.

Tambahnya, kedua-dua lelaki yang ditahan di Tambun turut mempunyai rekod jenayah.

Beliau mendedahkan antara modus operandi mereka adalah menyewa sebuah kereta Volkswagen Tiguan sebelum berkeliaran menghidu peluang bagi melakukan jenayah di kawasan Tambun, Ampang Baru, Simpang Pulai serta Kampung Rapat, sejak 10 April lepas.

Baca artikel berkaitan: Kes Addy Kana akan disemak semula – Abdul Hamid Bador

Menurutnya bagi mengelakkan kegiatan tersebut dihidu polis, kesemua lelaki terbabit akan bergerak pada waktu malam atau awal pagi untuk mencuri duit dan barang berharga di dobi layan diri, inap desa dan lot perniagaan dalam 16 kes yang dilaporkan dengan anggaran kerugian berjumlah RM50,000.

Selain penahanan ketiga-tiga lelaki terbabit, polis turut merampas pelbagai peralatan untuk memecah masuk kediaman atau premis perniagaan selain barangan elektronik, kotak rokok, botol minuman keras dan dokumen peribadi, katanya.

A.Asmadi berkata ketiga-tiga lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala pihaknya kini sedang mengesan seorang lagi individu berumur 25 tahun yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan tersebut.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram