SEMUA sektor ekonomi termasuk perkilangan dibenarkan terus beroperasi di enam daerah dalam Selangor yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mulai tengah malam ini sehingga 17 Mei depan.
Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan aktiviti-aktiviti tertentu yang tersenarai di bawah senarai negatif prosedur operasi standard (SOP) Am PKP 3.0 tidak dibenarkan beroperasi.
Menurut MITI, SOP Am PKP 3.0 adalah berdasarkan SOP PKP sedia ada kecuali aktiviti dine-in di restoran yang tidak dibenarkan.
Katanya, SOP berkenaan juga boleh diakses di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu www.mkn.gov.my.
“Syarikat juga perlu mematuhi SOP Am PKP 3.0 dan tertakluk kepada tatacara bekerja dari rumah (BDR) sedia ada.
“Ia termasuk hanya 30 peratus kakitangan pengurusan boleh hadir ke pejabat seperti biasa tanpa sekatan waktu bekerja manakala kehadiran pekerja operasi atau sokongan ditentukan majikan mengikut budi bicara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: 6 daerah di Selangor diletakkan status PKP – Ismail Sabri
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar mengumumkan pelaksanaan PKP ke atas enam daripada sembilan daerah dalam negeri Selangor berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 17 Mei depan.
Enam daerah tersebut adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang manakala tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor pula masih berada di bawah PKP Bersyarat (PKPB).
Menurut MITI, aktiviti penguatkuasaan juga akan dipertingkatkan berdasarkan kepada penilaian Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang mampu mengesan lokasi berisiko tinggi menjadi punca kepada penularan COVID-19.
Katanya, mana-mana syarikat yang didapati tidak mematuhi SOP juga akan dikenakan tindakan perundangan termasuk penutupan operasi untuk tempoh tertentu.
“MITI menyeru agar pihak industri terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kejayaan mengawal penularan wabak COVID-19.
“Selain itu semua agensi kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengambil langkah proaktif dan bersama-sama berganding bahu untuk meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi keselamatan bersama,” jelas kementerian itu lagi.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

