KEASYIKAN cikgu Matematik viral, Mohd Fadli Salleh menikmati juadah Nasi Arab semasa berbuka puasa bersama keluarganya hari ini terganggu apabila beliau tergigit benda keras yang akhirnya didapati adalah seurat dawai berus besi.
Menerusi perkongsian Facebook beliau, guru Sekolah Kebangsaan Gombak (1) yang mesra disapa Cikgu Fadli berkata, beliau yakin dan pasti peniaga Nasi Arab itu tidak sengaja berkemungkinan dawai halus tersebut tertinggal masa membasuh periuk.

“Jika diviralkan kedai mana, siapa penjual, pasti banyak cemuhan dan cercaan. Lebih teruk lagi, kedainya pasti akan berkurang pelanggan dan orang menjauhi.
“Sedangkan silapnya hanya sekali. Itu pun bukan disengajakan. Jalan yang terbaik, esok InsyaAllah jika kami ke sana lagi kami akan bisik-bisik dengan peniaga agar lebih cermat dan hati-hati. Hal begini boleh membunuh bisnes mereka.
“Kita tak nak bunuh bisnes sesiapa, namun bila ada teguran kena ambil maklum dan tambah baik perkhidmatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Cikgu Fadli berkata, langkah dibuatnya itu juga pesanan umum buat semua kawan-kawan yang berniaga makanan khususnya.
“Jaga betul-betul bab ni ya. Ubat stapler pun sama juga, banyak kes ubat stapler termasuk dalam kuih dan makanan.
“Hati-hati dan tolong lebih cermat ya kawan yang berniaga makanan. Makanan kalian semua sedap-sedap.
“Sayanglah jika ada sedikit kecuaian hingga orang memburukkan kalian seterusnya memberi kesan besar pada perniagaan kalian,” tambahnya.

