[VIDEO] “Jangan tembak kaki kawan sendiri” – Mahdzir Khalid

0
292
Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditemubual wartawan UTUSANTV di Ibu Pejabat TNB Jalan Bangsar. GAMBAR: Abd Razak Aid

UMNO baru sahaja menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-75 pada 11 Mei lepas. Sebagai salah sebuah parti tertua di negara ini, UMNO melalui tempoh perjalanan yang getir dalam mengharungi kancah politik negara terutama dalam mengetuai pakatan Barisan Nasional (BN) dalam membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, kekalahan BN dalam pilihan raya umum (PRU) yang lepas menyebabkan UMNO seakan-akan kehilangan rentak terutama apabila pemimpin-pemimpin pembangkang yang menerajui negara memberi tekanan hebat terhadap parti dan pemimpin-pemimpin utamanya.
Selepas gagasan Pakatan Harapan tersungkur gara-gara konflik politik dalamannya, UMNO telah berpeluang kembali menyertai kerajaan tetapi pemimpin utamanya tidak dipilih menjadi pemimpin nombor satu negara.
Keadaan itu menyebabkan senario politik negara berubah, terutama selepas UMNO dapat berbaik-baik semula dengan musuh ketatnya sebelum ini iaitu Pas yang menjadi gadingan terbaik pakatan parti Melayu dalam menghadapi pilihan raya,
Bagaimanapum suasana politik negara kembali panas apabila UMNO memutuskan untuk tidak menjalin kerjasama dengan Bersatu yang memimpin kerajaan, manakala rakannya dalam Muafakat Nasional, Pas memilih tetap bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional.
Keadaan itu menyebabkan ramai rakyat tertanya-tanya apakah bentuk pakatan atau kerjasama antara parti-parti yang akan berlaku menjelang PRU kali ini. Bagi mendapatkan penjelasan mengenai senario tersebut, wartawan UtusanTV, MOHD.RIDZWAN MD. IMAN dan AFIQ MOHD. SHAH mengadakan wawancara dengan Naib Presiden UMNO, DATUK SERI MAHDZIR KHALID. Berikut ialah sedutan temu bual tersebut.

UTUSANTV: Ada yang berkata UMNO kini berpecah, termasuk wujudnya UMNO 3.0. Apa pendapat Datuk Seri?
MAHDZIR: Perkataan wujudnya UMNO 3.0 ini tidak tepat. UMNO sememangnya sudah lama mempunyai pengalaman menjadi menteri, timbalan menteri dan sebagainya. Cuma di zaman pemerintahan Perikatan Nasional, Perdana Menteri bukan dari pemimpin UMNO. Itu kali pertama.
Tetapi itu hakikat yang kita patut terima. Kita dah kalah pada 2018 dan kita kemudiannya bersetuju menubuhkan kerajaan bersama. So kita terimalah. Melainkan kita tidak bersetuju dulu, itu mungkin orang lain jadi Perdana Menteri. Jadi perkataan UMNO 3.0 itu tidak tepat. Kebanyakan orang hendak berfikir ke arah suatu (tindakan) yang rasional, yang jitu dan perkara yang boleh bergerak ke hadapan. Itu yang difikirkan oleh orang ramai.

UTUSANTV: Adalah pemikiran itu bermaksud ahli mahukan pembaharuan dalam UMNO?
MAHDZIR: Bila ada keraguan tentang sesuatu benda yang kita buat, maka timbulah perkataan 3.0, 2.0 dan sebagainya. Seolah-olah ada kumpulan yang hendakkan kepada satu elemen lain, satu perkara lain berlaku.. Kepada saya sebagai Naib Presiden UMNO, kita hormati keputusan yang parti buat dan parti telah buat keputusan dan ahli-ahli perlu ikut.

Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditemubual wartawan UTUSANTV di Ibu Pejabat TNB Jalan Bangsar. GAMBAR: Abd Razak Aid/UTUSANTV

UTUSANTV: Benarkan ada gerakan lain?
MAHDZIR: UMNO ni sebuah parti yang besar. Ahli-ahli pun ramai..yang cerdik pandai pun ramai. Pakat-pakat cerdik kan? Mungkin ada lagi usaha-usaha lain yang (dubuat) tetapi tidak ada dalam keputusan parti. Misalnya, ada juga yang nak tengok jajaran baru. Macam mana dengan PKR, DAP dan sebagainya. Bolehkah UMNO bergabung atau menjadi sebahagian daripada kumpulan-kumpulan ini. Ada juga orang-orang fikir macam tu.
Jadi UMNO duduk di tengah-tengah.
Sebelah sini ada PAS dan Bersatu dan di sebelah satu lagi ada PKR dan DAP. jadi nak tengok ke mana UMNO nak pergi? Malahan, ada juga usaha-usaha nak tengok UMNO pergi PKR dan DAP. Bagaimanapun, perkara itu tidak pernah sekalipun di bawa ke dalam mana-mana mesyuarat Majlis Tertinggi. Tidak ada.

UTUSANTV: Selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, hubungan antara UMNO dan Pas agak renggang. Apa pandangan Datuk Seri?
MAHDZIR: Perkara itu menjadi susah juga keadaannya. Lebih kurang macam (ditelan mati mak, luah mati bapak). Sebab puncanya ialah bagi Pas di tangan kiri mereka ada Bersatu dan di tangan kanan mereka pula ada UMNO. Diaorang duduk di tengah-tengah.
Pas sebagai sebuah parti politik yang panjang usianya macam UMNO. Banyak pengalaman. Soal bergabung, kerjasama dan sebagainya semua mereka telah lalui. Bila keadaan jadi macam ni, ia melibatkan dua parti Melayu terbesar. Mereka hendak tinggalkan UMNO pun susah juga dan di sesetengah negeri mereka ada kepentingan bersama.
Bagi saya, perkara ini masih boleh dirunding dan boleh dibawa berbincang. Sebab dalam PAU pun, tajuk kerjasama dengan Pas tidak disebut terputus hubungan atau mufaraqah (berpisah) ke. Tiada. Maknanya, hubungan boleh diteruskan dalam usaha untuk membina kekuatan perpaduan ummah menghadapai pilihan raya.

UTUSANTV: Sebelum ini ada perbincangan pembahagian kerusi UMNO-Pas. Bagaimana sekarang?
MAHDZIR: Saya ingat memang ada kita berbincang perkara itu. dulu dah bincang tetapi bila timbul Perikatan Nasional (PN), perkara itu tertangguh sekejap. Saya lihat perkara ini boleh dilihat dan diamati balik. Tengok balik kerjasama dan juga kerusi-kerusi yang akan ditandingi.

UTUSANTV: UMNO-Pas boleh dirunding balik, bagaimana dengan Bersatu?
MAHDZIR: Saya ingatkan parti ini ada peringkat bahagian dan cawangan. Mereka dah bagi pandangan kepada kepimpinan. Jadi saya rasa kita hormati dululah keputusan PAU sebelum ini.

Datuk Seri Mahdzir Khalid – GAMBAR: Abd Razak Aid/UTUSANTV

UTUSANTV: Baru-baru ini, UMNO Titiwangsa mengadakan majlis dengan mengajak semua parti Melayu duduk bersama. Adakah kerjasama atau jajaran begini boleh berlaku?
MAHDZIR: Saya tidak fikir kerjasama sebegitu boleh berlaku dalam satu malam. Kita hendak mencantumkan kesemua parti dalam satu gabungan. Memang dalam politik ada orang panggil ‘seni kemungkinan (the art of possibility). tetapi tidak mudah. Satu dua parti bergabung memang mudah. Kita pun akan meghadapi pilihan raya, kalau kita menang nanti kita tengok dulu bagaimana.
Dari dahulu lagi, BN mempunyai gabungan 13 parti tetapi parti-parti ini kebanyakannya parti-parti di wilayah masing-masing seperti di Sabah dan Sarawak serta Semenanjung. Kalau kita gabungkan satu gabungan yang besar, kemungkinan di pringkat wilayah pula mereka akan bertembung sesama sendiri. Bagi saya yang terbaik gabungan dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas yang mendominiasi masyarakat Melayu.

UTUSANTV: Semua orang yakin UMNO boleh menang PRU tetapi isu sekarang ialah krisis kepimpinan parti. Rakyat semakin kurang percaya dengan UMNO dan persepsi rakyat juga berubah. Apa padangan Datuk Seri?
MAHDZIR: Kita sebagai ahli politik kena ingat. Dokongan dan sokongan dalam pilihan raya adalah ‘permainan nombor’. Katakan ada 60,000 pengundi dalam satu kawasan Parlimen. Ahli UMNO ada 20,000 orang, maknanya 40,000 lagi adalah daripada pengundi bukan ahli UMNO. Kalau kita gunakan peratusan. Ada 25 peratus ahli UMNO. Kalau nak menang kita kena ada 26 peratus lagi, baru dapat 51 peratus.
Maka yang 26 peratus itu bukan ahli UMNO. Kenapa yang 26 peratus itu akan datang mengundi UMNO? Di situlah peranan kepimpinan, anggota, pekerja termasuk orang-orang parti yang sedang mengerah otak bagaimana untuk menarik baki 26 peratus tersebut. Untuk itu, UMNO kena dalam keadaan sihat, dalam keadaan baik, menamakan calon terbaik. Orang duduk kedai kopi pun akan kata calon UMNO A lah, kalau calon ni siapa pun sokong.
Selain itu, kita tidak boleh hanya bercakap pasal politik sahaja sepanjang masa. Kita kena cakap soal rakyat, soal ekonomi, kehidupan, kepentingan pelbagai kaum, bukan sahaja untuk orang Melayu. Kena fikir apa perlu dilakukan mengenai perkara-perkara tersebut, bukan hanya fokus 100 peratus kepada politk dalaman parti sahaja,
Prinsip keterbukaan UMNO, kepimpinan parti dan UMNO perlu sentiasa dilihat dalam keadaan sihat dan baik. Selain itu, tertibnya pun kena ada. Ini saya boleh sebut ada sesetengah pemimpin ni suka bercakap. Kalau tak bercakap kita tulis, kita tulis pasal sama-sama sendiri . Teruk lagi kita tembak kaki kawan kita. Kita cakap macam kita ni bermusuh, padahal kita adalah sesama sendiri. Nasihat saya, kalau itu cara kita nak hadapi pilihan raya, orang pun susah nak terima kita.
Susah… kena berpada-pada la (apabila memberi pendapat). Ni cakap macam orang tak ingat, macam dah kena rasuk, kena hasut. Ini antara perkara-perkara yang perlu dilihat oleh UMNO.
Ini peratuan nombor satu. Kemudian baru dilihat sebagai parti yang mampu menarik perhatian orang ramai. Kerana orang awam ni mempunyai pelbagai kelas. Ada kelas atasan, pertengahan, teknokrat, profesional dan sebagainya. Orang kampung pun sedang ramai yang sekurang-kurangnya mempunyai SPM, yang ada diploma dan ijazah pun ramai. Tambah-tambah sekarang dengan teknologi media sosial, maklumat sampai dengan cepat di mana-mana.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditemubual wartawan UTUSANTV di Ibu Pejabat TNB Jalan Bangsar. GAMBAR: Abd Razak Aid

UTUSANTV: Apabila berlaku kawan tembak kaki kawan, kenapa UMNO tidak ambil tindakan?
MAHDZIR: Ada. Ada kita buat tindakan secara baik. Tegur menegur secara baik, panggil mereka dan nasihat yang sudah tu sudah. Tetapi masalahnya UMNO ni ramai ‘orang pandai,’yang terlajak pandai pun ada.

UTUSANTV: Datuk Seri rasa tahun ni akan ada pemilihan? Akan pertahankan jawatan Naib Presiden?
MAHDZIR: Bergantung kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT). InsyaAllah saya akan pertahankan jawatan saya. Memang tahun ini tahun pemilihan. Tapi keputusan akhirnya kepada MT. Pemilihan peringkat cawangan sepatutnya bulan Jun ini.

UTUSANTV: Mengenai komen Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Kerajaan Gagal, jadi kenapa Menteri atau pemimpin UMNO masih setia dengan kerajaan sekarang ni walaupun UMNO sendiri tak sudi dengan Bersatu. Apa komen Datuk Seri?
MAHDZIR: Itu pun keputusan yang telah dibuat dalam MT dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Maknanya kita bersama beri dukungan kepada kerajaan ni sehingga Parlimen dibubarkan. Tak sepatutnya ada pertikaian. Saya ingat semua orang pun dah ada persetujuan bersama bahawa kita berada di sini pun ada persetujuan daripada parti juga sehingga pembubaran Dewan Rakyat. Itu dalam usul yang dibaca semasa PAU.
Kita kena lihat dari segi positif. Kalau nak tengok dari segi negatif ni banyak. Saya harap bahawa kita tengok juga yang positif.

UTUSANTV: Adakah penularan audio yang didakwa mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meretakkan lagi hubungan dalaman UMNO?
MAHDZIR: Saya ingat polemik ini tak habis. Akan terus jadi bualan yang berterusan. UMNO sekarang berada di tengah-tengah. Ahli UMNO pun bertanya parti ini nak pergi mana sahaja?

UTUSANTV: Jika Pas tetap ingin bersama Bersatu manakala UMNO pula menolak kerjasama. Adakah UMNO menjangkakan pertandingan tiga penjuru? Adakah UMNO boleh bertahan untuk bertanding solo?
MAHDZIR: Itu kita kena tengok sampai akhir. Kalau ada jalan atau ruang untuk kita berunding dengan baik bersama Pas, apa salahnya.
Di peringkat negeri UMNO dan Pas masih ada hubungan yang baik. Alhamdulillah. Macam saya di kawasan Parlimen Padang Terap, sejak buat Muafakat Nasional (MN), kita dah buat berpuluh program bersama. Kalau tak pergi tempat Pas, mereka ke tempat UMNO. Kadang-kadang kita buat majlis bersama.
Bila jadi macam ni, kita pun kena duduk bincang. Cuma kita berdoa yang terbaik untuk bersama di bawah MN. Mereka pun mahu sebab tidak ada lagi peristiwa yang berlaku yang membolehkan kita bersama. 60 tahun bergaduh tak bertegur sapa. Akhirnya dalam masa dua tahun tu kita boleh bersama.
Mereka pun merasakan keserasian itu dengan UMNO.

Pengerusi Tenaga Nasional berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditemubual wartawan UTUSANTV di Ibu Pejabat TNB Jalan Bangsar. GAMBAR: Abd Razak Aid

UTUSANTV: Jadi di Kedah, Pas masih mahu dengan MN. Bagaimana reaksi mereka terhadap PN pula?
MAHDZIR: Saya nak cakap pun tak mahu bagi negatif kepada orang tetapi oleh kerana apa yang berlaku tu, Pas pun tengok UMNO dan kawan kita (Bersatu). Boleh buat perbandingan di peringkat negeri, peringkat bahagian dan peringkat bawah iaitu akar umbi.
Itu realiti yang ada. Ambil satu contoh Parlimen. Katalah Padang Terap. UMNO ada 143 cawangan. Pas ada dekat 100 cawangan. Dua ni bila bergabung dari segi cawangan dah sangat besar. Kawan kita (Bersatu) ni sebab parti baru, dia tak ada cawangan lagi.

UTUSANTV: Apa agaknya yang membolehkan UMNO nak terima semula Bersatu? Faktor yang mungkin akan dipertimbangkan?
MAHDZIR: Ayat saya yang awal tadi saya ulangi sekali lagi. Keputusan dah ada, biar lah dulu. Kita cari macam mana UMNO dan Pas punya kaedah. Yang paling penting ada kejayaan ummah dalam tu.

UTUSANTV: Kesimpulan Datuk Seri mengenai Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan?
MAHDZIR: Kita boleh simpulkan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang ni kita masih sebuah organisasi yang namanya BN bertanding dalam PRU dan kita ada kekuatan untuk bertanding. Tetapi pada masa yang sama, kita juga terbuka untuk menerima atau berkolaborasi khususnya dengan Pas yang kita bina atas MN.
Kalau itu yang kita boleh buat saya rasa itu jalan terbaik. Yang lain-lain tu, melibatkan kawan-kawan lain itu kita cerita kemudian.

UTUSANTV: Pesanan Datuk Seri kepada ahli UMNO dalam menghadapi krisis politik sekarang ini?
MAHDZIR: Kepada seluruh rakan-rakan kepimpinan dan ahli UMNO, saya ingat perkara paling penting sekali, apa pun yang terjadi solidariti kita kena nombor satu. Ada kesatuan dan kesepaduan. Tuntutan yang paling utama ialah kita kena ada semangat dan kesediaan dari dalam diri kita dan parti kita untuk menghadapi pilihan raya.
Perpaduan itu kena ada, di peringkat cawangan, bahagian, daerah mengundi, Parlimen, negeri dan nasional. Itu yang paling penting. Begitu juga dengan sayap-sayap parti. Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Semua ni kena ada keinsafan bahawa kalau kita berpecah jadi tiga hingga empat puak. Saya tak fikir orang hormat kepada UMNO dan saya tak fikir kita boleh menang pun PRU.