DUNIA kini mengutuk Israel yang melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin. Ada yang menyuarakan bantahan dan ada yang menyalurkan bantuan bagi meringankan umat Islam di di bumi Al-Aqsa tersebut.
Pas baru-baru ini mengumumkan penubuhan Sekretariat #Aid4Palestine yang menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta untuk membantu rakyat Palestin.
Menyahut seruan tersebut, beberapa pemimpin parti itu di peringkat negeri tampil menginfakkan harta milik mereka dengan mengutip sumbangan melalui lelongan amal.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan hasratnya untuk melelong beberapa bilah koleksi kerisnya untuk tujuan amal dana Palestin.
“Antaranya ialah sebilah Keris Melela Lok 5 hasil tukang Kelantan (Arwah Stopa), bertatah perak, lok cun, hulu pipit teleng, serta gelang dan kasut putih.
“Seratus peratus hasil lelongan ini akan didermakan kepada #Aid4Palestine. Insya Allah. Semoga dipermudahkan,” katanya pada hantaran di media sosial malam tadi.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pula menyatakan hasratnya untuk mendermakan kereta Volvo XC60 3.0 cc AWD T6 untuk dilelong kepada pembida tertinggi.
“Kereta ini saja yang dah selesai hutang bank. Sayang sangat kat kereta ni tapi sayang lagi kepada saudara kita di Palestin.
“Saya beli kereta ni tahun 2018 dengan harga RM60,000.00…Pendek kata, kondisi kereta ni tip-top. Tak ada apa-apa yang perlu diperbaiki lagi,” katanya pada hantaran di Facebook semalam.
“Sesiapa yang berminat boleh PM inbox. Bidaan ini dibuka selama tiga hari dan pembida tertinggi akan dihubungi sebaik saja bidaan ditutup pada 18 Mei 2021 jam 3 petang.
“Pembida yang serius boleh menyertai bidaan ini, yang tak serius tak payah kacau daun,” jelasnya lagi.
Menurut beliau, 100 peratus hasil bidaan ini akan dimasukkan ke akaun #Aid4Palaestine di mana pembida diminta bayar terus ke akaun Maybank Tabung Kemanusiaan PAS 5640 7061 4481 atau PASRelief 5640 7061 2333.
Khamis lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang melancarkan kempen kutipan dana Aid 4 Palestine.
Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata sekretariat itu akan dipengerusikan Adun Batu Burok, yang juga anak sulungnya Muhammad Khalil Abdul Hadi.
“Sekretariat ini akan berfungsi sebagai koordinator jaringan badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin, serta menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah ‘crowdfunding’ dengan sasaran bantuan RM1 juta yang akan disalurkan terus ke bumi Palestin,” katanya.

